Sabah Electricity beri rebat 2.5 peratus kepada pengguna layak

LocalBusiness & Finance
28 Jan 2026 • 4:33 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Sabah Electricity (SE) mengumumkan pemberian rebat elektrik sebanyak 2.5 peratus kepada pengguna yang layak sebagai sebahagian daripada usaha berterusan syarikat itu bagi meringankan beban kos sara hidup serta memastikan kebajikan pelanggan terus terpelihara.

Rebat ini akan memanfaatkan 661,774 pelanggan Sabah Electricity di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar, berkata jumlah keseluruhan rebat bernilai RM10.4 juta itu akan dikreditkan secara berperingkat terus ke dalam akaun bil elektrik pelanggan berdaftar, bermula Januari tahun ini.

“Rebat ini diberikan kepada pengguna di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024, Peraturan Lesen Pembekal 2024 Peraturan (5)(1), yang mewajibkan Sabah Electricity membayar faedah 2.5 peratus ke atas deposit tunai pada Januari setiap tahun,” katanya dalam satu kenyataan media, Selasa.

Beliau berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen Sabah Electricity untuk mengimbangi kelestarian kewangan syarikat dengan kepentingan pengguna, khususnya dalam keadaan ekonomi semasa.

Mohd Yaakob menjelaskan deposit keselamatan dikira berdasarkan penggunaan elektrik bagi tempoh dua bulan, yang ditentukan daripada purata penggunaan enam bulan terkini, dan disemak setiap enam bulan.

Sebarang peningkatan deposit hanya akan dikenakan sekiranya terdapat peningkatan penggunaan berbanding deposit sedia ada.

Bagaimanapun, jika purata penggunaan lebih rendah daripada deposit sedia ada, lebihan berkenaan boleh dipulangkan kepada pengguna atas permintaan melalui rebat yang dikreditkan ke bil elektrik mereka.

Sabah Electricity turut menggalakkan pengguna mengamalkan penggunaan tenaga secara cekap dan memanfaatkan kemudahan pemantauan penggunaan elektrik yang disediakan melalui portal rasmi serta aplikasi mudah alih syarikat bagi membantu mengurus perbelanjaan elektrik dengan lebih berkesan.

Pengguna yang memerlukan maklumat lanjut boleh mengunjungi pejabat Sabah Electricity berhampiran atau menghubungi Talian Khidmat Pelanggan di 15444 atau 088-515000.

Selain itu, aplikasi mudah alih Sabah Electricity boleh dimuat turun ke telefon pintar bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan perkhidmatan syarikat.