
Kota Kinabalu: Sabah FC II berazam untuk mengubah nasib apabila menentang Pulau Pinang FC II dalam perlawanan Piala MFL di Stadium Likas malam ini (Isnin).
Pasukan itu setakat ini hanya mencatat satu kemenangan dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur FC II pada Januari lalu.
Ketua jurulatih Billyton Vun berkata pasukan itu membuat persiapan rapi untuk perlawanan itu dan anak-anak buahnya menumpukan sepenuh perhatian untuk memberikan yang terbaik selepas hampir sebulan berehat sejak tewas 0-2 kepada Kuching City FC II pada 20 Januari lalu.
“Persediaan kami berjalan lancar dan pemain telah menunjukkan komitmen mereka dalam latihan dan perlawanan persahabatan.
“Walaupun ia sedikit membimbangkan saya, disebabkan rehat yang panjang kami tidak dapat bermain perlawanan persahabatan berintensiti tinggi.
“Ini adalah perbezaan antara kami dengan pasukan dari Semenanjung yang mempunyai kelebihan untuk bermain dengan lawan yang lebih kuat pada waktu rehat,” katanya.
Sungguhpun begitu, dia optimis ikatan kukuh dalam pasukan akan membantu mengatasi cabaran yang mendatang.
“Semua pemain kekal sangat positif dan fokus pada cabaran yang akan datang. Mereka masih berazam untuk berjuang dan menamatkan musim ini sebaik mungkin.”
Sementara itu, pasukan itu berada di tangga terbawah liga dengan enam mata daripada satu kemenangan, tiga seri dan 15 kekalahan.
Perlawanan seterusnya menentang Kelantan Darul Naim di laman sendiri pada 18 Mac.
