
Kota Kinabalu: Golongan pakar undang-undang dan wakil masyarakat sivil di Sabah menggesa pelaksanaan hukuman lebih adil serta tindakan konkrit berhubung cadangan pindaan kepada undang-undang jenayah Malaysia, selaras dengan usaha semakan semula terbesar negara terhadap perundangan berkaitan jenayah sejak beberapa dekad lalu.
Cadangan berkenaan diketengahkan semasa sesi balai rakyat di sini pada Isnin, anjuran Jawatankuasa Reformasi Undang-Undang Jenayah (CLRC) sebagai sebahagian daripada jelajah konsultasi nasional yang bermula di Semenanjung Malaysia pada 21 Mei lalu.
Dipengerusikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal, sesi itu bertujuan mendapatkan pandangan pihak berkepentingan di Sabah terhadap cadangan pindaan kepada tiga akta penting, iaitu Kanun Keseksaan (Akta 574), Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593), dan Akta Keterangan (Akta 56).
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Kami masih belum memuktamadkan apa-apa. Buat masa ini, kami hanya mengumpul maklum balas daripada semua pihak,” kata Harmindar kepada peserta sesi tersebut.
“Selepas itu, jawatankuasa dan penyelidik akan meneliti semua cadangan dan menentukan yang mana boleh dilaksanakan dalam masa terdekat dan mana yang mungkin perlu dilaksanakan dalam jangka masa panjang,” katanya, sambil menegaskan proses masih dalam fasa konsultasi.
Proses ini merangkumi sesi balai rakyat di seluruh Semenanjung, Sabah dan akan diteruskan di Sarawak serta menerusi borang maklum balas dalam talian. Tempoh konsultasi awam turut dilanjutkan dari 31 Mei kepada 15 Jun bagi memberi ruang kepada penyertaan lebih meluas.
Antara yang hadir ialah Bekas Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah, Datuk Roger Chin, yang menekankan pentingnya proses konsultasi yang inklusif dalam pembentukan undang-undang.
“Banyak undang-undang sebelum ini tidak melibatkan pandangan pihak berkepentingan. Bila ini berlaku, kualiti undang-undang terjejas,” katanya kepada Daily Express.
“Inilah satu-satunya cara untuk undang-undang bergerak ke hadapan. Undang-undang tidak boleh statik. Ia mesti sentiasa dikemas kini mengikut perubahan zaman,” katanya.
Inisiatif reformasi ini diterajui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, sebagai bukti komitmen Kerajaan dalam memastikan kerangka undang-undang Malaysia kekal relevan dan berkesan menghadapi cabaran semasa.
Walaupun proses konsultasi dialu-alukan, beberapa pihak di Sabah menyuarakan harapan agar pandangan mereka benar-benar diterjemah ke dalam pindaan undang-undang.
“Saya harap semua maklum balas ini benar-benar diambil kira. Banyak kali kita lihat undang-undang tidak dipinda meskipun wujud keperluan mendesak,” kata Roger, merujuk kepada isu kesesakan penjara disebabkan hukuman tidak boleh diubah untuk kesalahan dadah kecil.
Aktivis sosial merangkap bekas wartawan, Dr Kanul Gindol, berkongsi sentimen sama dan menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan jawatankuasa.
“Saya harap Kerajaan benar-benar teliti segala kelemahan dan rungutan yang dibangkitkan pihak berkepentingan, terutamanya peguam yang arif dalam pelaksanaan keadilan jenayah,” katanya.
Wakil Justice for Sisters, Megan Stephen, menekankan keperluan penggunaan bahasa yang neutral-jantina dalam undang-undang jenayah.
“Semua peruntukan atau pindaan undang-undang harus menggunakan bahasa yang lebih neutral. Sebagai contoh, dalam kes rogol, perkataan ‘wanita’ sepatutnya digantikan dengan ‘individu’ kerana sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa rogol,” katanya.
Megan turut menyuarakan keperluan melindungi individu tanpa kerakyatan dan yang tidak berdokumen, termasuk golongan kurang bernasib baik.
“Saya mempunyai keyakinan 50-50 terhadap pelaksanaan ini, disebabkan masih wujud ketidaksamarataan dalam sistem keadilan di mana individu yang berduit atau berpengaruh lebih mudah mendapat perlindungan berbanding golongan terpinggir,” katanya.
Pengerusi Lembaga Pelawat Penjara Sabah, Datuk Katherine Lee mencadangkan agar Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) diperluas untuk kesalahan kecil sebagai alternatif kepada hukuman penjara.
“Saya ingin lihat lebih banyak pelaksanaan PKM, terutama bagi kesalahan kecil,” katanya, bimbang mengenai sistem sekarang ini di mana ibu-ibu yang mencuri susu atau makanan untuk bayi mereka dijatuhkan hukuman penjara tiga atau enam bulan.
“Ia tidak masuk akal bagi saya. Tiada siapa yang menjaga bayi-bayi ini,” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap Perjanjian Penangguhan Pendakwaan (DPA), yang boleh memberikan kelebihan kepada pesalah berduit untuk menyelesaikan kes tanpa melalui proses pendakwaan penuh.
Sebaliknya, beliau mencadangkan pesalah tetap didakwa sewajarnya, tetapi boleh dikenakan syarat tambahan untuk menyumbang kepada masyarakat melalui perkhidmatan masyarakat.
Katherine turut menyarankan pendekatan Keadilan Pemulihan (RJ) diperkenalkan, yang memberi tumpuan kepada usaha pemulihan kesan disebabkan jenayah, melibatkan mangsa, pesalah dan keluarga dalam proses penyelesaian.
“Pendekatan ini lebih menumpukan kepada pemulihan berbanding hukuman semata-mata dan boleh merapatkan hubungan antara semua pihak terlibat.
“Namun pelaksanaannya memerlukan latihan komprehensif kepada pihak berkaitan seperti polis, pekerja sosial dan hakim serta pindaan undang-undang seperti Akta Kanak-Kanak 2001, Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah untuk mengiktiraf dan menyokong amalan RJ,” katanya.
Untuk rekod, ini merupakan usaha pertama Malaysia melaksanakan reformasi menyeluruh undang-undang jenayah melalui penubuhan jawatankuasa khusus.
CLRC, yang disokong oleh Jawatankuasa Ad Hoc terdiri daripada pakar dalam bidang undang-undang, penguatkuasaan, teknologi dan masyarakat sivil, diberi tempoh 18 bulan untuk melaksanakan semakan secara berfasa.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan Madani untuk memastikan sistem keadilan jenayah negara lebih responsif, adil dan berkesan sambil mengekalkan kedaulatan undang-undang dan melindungi hak individu.
Keberhasilan reformasi ini banyak bergantung kepada sejauh mana Kerajaan mampu mengambil kira pelbagai suara dan kebimbangan yang diketengahkan sepanjang proses konsultasi awam ini.
