
Kota Kinabalu: Sabah dijangka mencatatkan 2.5 juta ketibaan pelancong menjelang akhir tahun ini, melebihi sasaran awal 2.2 juta, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew.
Beliau berkata setakat Oktober 2023, Sabah telah merekodkan RM4.42 bilion dalam pendapatan pelancongan daripada 2.1 juta ketibaan pelancong yang diterima sehingga ketika itu.
“Saya yakin Sabah mampu mencapai sasaran yang akan memperhebatkan momentum pemulihan pada tahun hadapan.
“Untuk merealisasikannya, Kerajaan Negeri komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif dan program pelancongan inklusif sebagai usaha untuk memasarkan Sabah sebagai destinasi pilihan pelancong domestik dan antarabangsa selepas pandemik Covid-19,” katanya.
SPONSORED CONTENT Sabah International Convention Centre’s Big Sabah Sale a big hit Kota Kinabalu: The Sabah International Convention Centre’s (SICC) Big Sabah Sale which concluded on Sunday saw a good response with about 20,000 visitors during the three-day extravaganza. . Read more Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian semasa pelancaran penerbitan Akaun Satelit Pelancongan Wilayah (RTSA) Sabah 2022 di Shangri-La Tanjung Aru, di sini, Khamis.
Ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menterinya Datuk Joniston Bangkuai. Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin turut hadir.
Christina berkata masih banyak yang perlu dilakukan, memandangkan kerancakan sektor pelancongan Sabah masih rendah berbanding sebelum wabak Covid-19, di mana 4.2 juta ketibaan pelancong dicatatkan pada 2019 sahaja.
Oleh itu, beliau berkata usaha untuk meluaskan sambungan udara akan terus mendahului senarai agenda, dengan pelbagai insentif dirancang untuk menggalakkan syarikat penerbangan memulakan semula laluan udara yang terhenti, membuka laluan udara baharu dan memulakan penerbangan sewa khas ke Sabah.
Tambahnya, setiap minggu, Sabah menerima sejumlah 384 penerbangan domestik dengan kapasiti 63,519 tempat duduk dan 105 penerbangan terus antarabangsa ke Kota Kinabalu dengan kapasiti 18,962 tempat duduk.
“Pengangkutan udara adalah rangkaian penting untuk menghubungkan Sabah dengan destinasi berpotensi di rantau ini. Pembukaan semula sempadan negara telah membuahkan impak positif dan menggalakkan pemulihan sektor pelancongan Sabah.
“Pada 2022, Sabah mencatatkan 1.73 juta ketibaan pelancong, meningkat 365.5 peratus berbanding hanya 371,187 ketibaan yang dicatatkan pada tahun sebelumnya,” katanya.
Selain itu, beliau berkata Kerajaan akan terus membangunkan pelancongan luar bandar dalam usaha memperkasakan ekopelancongan di Sabah.
“Dengan pengiktirafan berprestij “Triple Crown” yang dianugerahkan kepada Sabah, ia merupakan petunjuk kepada Kementerian bahawa biodiversiti alam semula jadi negeri adalah aset yang tidak ternilai yang mesti dipulihkan dan dipelihara,” tambahnya.
Sementara itu, Christina berkata Akaun Satelit Pelancongan Wilayah Sabah (RTSA) 2022 dilaksanakan untuk mengukur prestasi sektor pelancongan Sabah dan penemuannya adalah penting untuk membentuk dasar yang boleh meningkatkan aktiviti pelancongan di negeri ini.
“Dengan penerbitan ini, ia akan dapat membantu banyak pihak termasuk kerajaan, penyelidik, ahli akademik dan pemain industri dalam merangka dan merancang pembangunan industri pelancongan Sabah,” katanya.
RSTA Sabah 2022 mendapati bahawa tiga faktor yang mempengaruhi keputusan pengembara untuk melawat Sabah ialah kemudahan akses, tarikan pelancong Sabah dan cadangan oleh rakan dan keluarga.
Juga didapati bahawa tiga tarikan utama Sabah ialah keindahan pulau dan pantainya, eko-pelancongan dan syurga makanannya.
Data itu juga menunjukkan bahawa 57.6 peratus pelawat adalah lelaki manakala 42.4 peratus adalah perempuan, dengan 70.9 peratus pelawat memilih untuk menginap di hotel, 18.2 peratus di rumah rakan dan keluarga dan 5.2 peratus di inap desa.
Pengunjung juga cenderung untuk membeli makanan tempatan, makanan laut kering dan beku serta kraftangan, antara lain, dengan Pusat Beli-belah Imago, pasar malam Kota Kinabalu dan pasar kraftangan menjadi lokasi membeli-belah pilihan mereka.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

