Sabah Kids FC sertai kejohanan antarabangsa

LocalFootball
24 Apr 2025 • 7:45 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Kazalinah Kamaludin

Kota Kinabalu: Sabah Kids FC, sebuah pasukan akar umbi yang kian menyerlah, bakal membawa cabaran negeri ke kejohanan bola sepak antarabangsa, International Cup 7-A-Side, yang akan berlangsung di The Campus, Ampang 26 hingga 27 April ini.

Pengurus pasukan, Mazhair Shahroz Muhasip, berkata kejohanan berprestij ini yang menghimpunkan pasukan bawah 11 tahun (U11) dari 14 negara – termasuk Nepal, Bangladesh, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, Malaysia dan lain-lain – menjadi platform penting dalam pembangunan bakat muda bola sepak rantau Asia.

Mazhair berkata mereka menyenaraikan pemain cilik berbakat dari pelbagai sekolah rendah di sekitar Sabah untuk kejohanan itu.

“Penyertaan dalam kejohanan ini merupakan satu detik bersejarah buat Sabah Kids FC yang berpeluang beraksi di pentas antarabangsa, sambil membawa semangat juang dan kebanggaan negeri Sabah.

“Ini bukan sekadar sebuah kejohanan, tetapi satu perjalanan membentuk disiplin, impian, dan pembangunan kendiri anak-anak muda kita,” kata Mazhair dalam kenyataan pada Rabu.

Timbalan Jurulatih, Zubair Shuhaime akan mengetuai pasukan dalam kejohanan ini bagi menggantikan Ketua Jurulatih, Musa Abdul Rahman, yang tidak dapat bersama.

Antara pemain yang akan menyarung jersi pasukan ialah Firas Zaim Rizal dari SK Bantayan, Tuaran; Khairul Ikhwan Azmi, Muhammad Noah Aazad Ahnafia, Muhammad Adi Mirza Mazhair Shahroz, dan Harraz Daniel Mohd Haniff – kesemuanya dari SK Sri Gaya, Kota Kinabalu.

Turut mengisi senarai ialah Thomas Henry dari SK Bukit Padang; Rezza Redzuan dari SK Beringis, Papar; serta Muhammad Ridzuan Suan dari SK Kampung Contoh, Penampang.

Ashton Sthorres Maslin dari SJK(C) Pai Wen, Ranau, juga tersenarai bersama Muhammad Zahirul Mohammad Nazib dari SK Petagas, Penampang, dan Aryan Indera Shah Mohd Shahrizal dari SK Api Api, Kota Kinabalu.

Melengkapkan senarai pemain ialah Muhammad Danish Ekram Rizal Ekram dari SK St Agnes, Kota Kinabalu; Mohamad Qaisy Miqail Fedy dari SRK Lok Yuk Likas, Kota Kinabalu; serta Muhammad Faaeq Nadeem Mohd Nizam dari SK Buang Sayang, Papar.