Sabah komited bantu pembangunan OKU: Hajiji

5 Jan 2023 • 4:40 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah komited membantu Orang Kurang Upaya (OKU) termasuk OKU penglihatan di negeri itu bagi memastikan golongan berkenaan tidak terpinggir daripada segala aspek, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata seramai 43,214 OKU termasuk 3,597 OKU penglihatan telah mendaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKA), setakat 29 Dis lepas

Untuk itu, Hajiji meminta ibu bapa dan keluarga supaya mendaftarkan ahli keluarga OKU ke JPKA Sabah bagi membolehkan mereka dibantu.

“Ini bagi memastikan mereka dapat dibantu khususnya dalam pemberian nilai tambah berupa kemahiran yang akan membolehkan mereka hidup berdikari serta menyumbang kepada diri sendiri dan keluarga.

“Ia juga bagi memudahkan kerajaan merancang penyediaan kemudahan serta perkhidmatan lebih baik dan bersesuaian dengan keperluan mereka. Terdapat banyak keistimewaan untuk golongan OKU yang berdaftar termasuk memudahkan urusan saluran bantuan dan faedah kepada mereka,” katanya.

Hajiji berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir pada majlis perasmian Sambutan Hari Braille Sedunia Peringkat Kebangsaan di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Hajiji berkata Hari Braille Sedunia disambut untuk memberi kesedaran dan pendedahan kepada masyarakat betapa pentingnya kewujudan Braille sebagai medium komunikasi dalam pengiktirafan hak asasi manusia kepada OKU penglihatan.

Beliau berkata penggunaan Braille berjaya membantu golongan OKU penglihatan keluar daripada kepompong tidak boleh membaca sekali gus menjadi elemen penting dalam meningkatkan kualiti hidup serta memperkasa kerjaya mereka.

“Pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan bagi memastikan hak sama rata untuk golongan ini, antaranya ialah penajaan kepada OKU penglihatan untuk menyertai program keusahawanan Sijil Kemahiran Malaysia Urut Terapi Tahap 3 dianjurkan oleh Pertubuhan Amal Pembangunan Usahawan OKU Penglihatan Malaysia bagi membantu golongan ini menjadi usahawan berjaya dan berdikari.

“Pertubuhan bagi Orang-Orang Buta Sabah turut memainkan peranan penting dalam memberi perkhidmatan termasuk maklumat berkaitan peluang pekerjaan kepada golongan OKU penglihatan,” katanya, menambah pertubuhan itu kini mempunyai tiga cawangan beroperasi di Sandakan, Keningau dan Tawau.

Beliau turut melahirkan rasa bangga kerana Perpustakaan Negeri Sabah menjadi perpustakaan pertama di negara ini yang menyediakan perkhidmatan dan kemudahan untuk OKU penglihatan sebagai komitmen dalam membantu seterusnya memberi sokongan kepada golongan berkenaan.

“Ini termasuk menganjurkan Bengkel Tactile untuk menghasilkan buku tactile khas atau bengkel menyediakan buku cerita dalam tulisan Braille bagi golongan OKU penglihatan, selain menyediakan lebih banyak koleksi buku berbentuk teks braille,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.