
Kota Kinabalu: Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah (TTS) dan Perkhidmatan Taman Negara Korea (KNPS) akan memudahkan kerjasama dalam bidang pengurusan taman dan kawasan perlindungan, penyelidikan, pendidikan serta pemuliharaan.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai berkata, pemeliharaan dan perlindungan taman atau kawasan perlindungan lain adalah matlamat bersama Taman-Taman Sabah dan Perkhidmatan Taman Negara Korea.
“Justeru, saya melihat MoU ini perlu untuk kedua-dua pihak berkongsi pengetahuan dan kepakaran serta menggunakan apa yang telah kita pelajari untuk membangunkan sistem pengurusan taman yang lebih sesuai dengan keperluan kedua-dua wilayah,” katanya semasa majlis menandatangani MoU tersebut, di sini, Jumaat.

