
Kota Kinabalu: Sabah FC menewaskan PDRM FC 1-0 dalam pertemuan Liga Super Malaysia di Stadium Likas, malam Selasa.
Kapten Badak Dominic Tan menanduk masuk gol tunggal permainan pada minit ke-42 hasil sepakan sudut yang dilakukan oleh Saddil Ramdani.
Kemenangan itu turut menebus kekalahan 1-2 kepada PDRM FC pada awal musim Julai lalu.
Walaupun bermain dengan kelebihan di laman sendiri, pelawat menjadi pasukan yang lebih agresif sejak awal.
Penjaga gol Damien Lim membuat sentuhan penting pada minit ke-11 untuk menafikan tandukan pemain pertahanan Kyaw Min Oo daripada masuk sebelum Daniel Ting mengeluarkan bola dari keadaan bahaya.Lima minit berselang, Dominic merebahkan diri untuk menghalang rembatan Muhd Eizrul Ashraf Noe Effendy, yang turut terlepas satu lagi peluang pada minit ke-27 dengan sepakan lemah terus ke arah Damien.
PDRM mempunyai peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan dua minit selepas perlawanan disambung apabila Aremu Timothy Oluwaseun melakukan larian menuju gawang tetapi Rawislon Batuil pantas menendang bola dari kakinya sebelum dia sempat melepaskan rembatan.
Beberapa minit kemudian di sudut bertentangan, S Kumahraan menyepak bola tinggi dari jarak dekat dan satu percubaan Darren Lok dinafikan oleh penjaga gol lawan Nor Hakeem Hamidun.
Damien kemudian melakukan dua penyelamatan hebat daripada Mohd Safiee Ahmad dan Bruno Junichi Suzuki manakala Miguel Angel Garrido Cifuentes turut mengeluarkan bola dari garisan gol pada minit-minit akhir untuk memastikan tiga mata.
Ketua jurulatih Martin Stano gembira dengan kemenangan ini selepas anak-anak buahnya berehat sebulan.
“Ia adalah perlawanan yang sukar hari ini untuk pemain terutama selepas sambutan Ramadan dan Hari Raya.
“Kami tidak mempunyai perlawanan kompetitif selama sebulan dan ia sukar untuk pemain. Kami kelihatan kurang keyakinan pada permulaan dan memberikan banyak ruang kepada lawan untuk membolehkan mereka mencipta beberapa peluang berbahaya.
“Tetapi separuh masa kedua, kami tampil lebih kuat dan bermain lebih baik. Ia lebih terbuka dengan kedua-dua pasukan mencipta banyak peluang menjaringkan gol.
“Akhirnya, kami perlu gembira untuk mendapatkan tiga mata di Stadium Likas dan kami kini selangkah lebih dekat dengan sasaran kami untuk menduduki tempat ketiga,” katanya.
Sabah FC kini berada di tempat ketiga susulan kemenangan itu, tiga mata di depan Kuching City FC dalam carta liga dengan baki dua lagi perlawanan.
Mereka seterusnya akan menentang Kedah FC di tempat lawan pada 12 April sebelum menamatkan cabaran musim ini menentang Perak FC di tempat sendiri pada 20 April.
