
SANDAKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Sabah memerlukan sebuah kerajaan stabil bagi memastikan pembangunan terbaik dan memberi jaminan bahawa Kerajaan Madani akan terus memberi perhatian sewajarnya kepada negeri itu.
Beliau berkata kerajaan Persekutuan sentiasa peka terhadap keperluan rakyat Sabah dan Sarawak, termasuk kadar harga diesel yang lebih rendah berbanding Semenanjung serta pelbagai keperluan asas lain.
“Oleh itu, untuk memastikan pembangunan berterusan, kita perlukan kerajaan negeri dan Persekutuan yang stabil serta bekerja demi kesejahteraan rakyat.
Ini termasuk menyelesaikan isu air dan elektrik di Sabah,” katanya ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Belia Sandakan di Gelanggang Futsal Sim-Sim, di sini, Rabu.
Turut hadir, calon PH bagi kerusi Tanjong Papat merangkap Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, dan calon PH Elopura, Tang Szu Ching.
Anwar berkata kerajaan Perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH) merupakan pentadbiran yang menyalurkan bantuan paling banyak kepada Sabah dan rakyat negeri ini.
Katanya, sepanjang pentadbiran Kerajaan Madani, Sabah turut menjadi antara negeri yang menerima peruntukan terbesar untuk pembinaan pelbagai kemudahan, termasuk sekolah.
“Jadi ibu-ibu yang ada anak, tolong ingat perkara ini. Banyak sekolah dibina (di Sabah) sejak kita memerintah. Nak marah sikit tidak mengapa, nak tegur pun tidak mengapa… saya tidak marah kerana saya faham kadang-kadang (ada) orang (masih) susah.
“Tetapi, jangan kata kita tidak tolong. Ini kerajaan Pakatan Harapan, paling banyak tolong orang Sabah,” ujarnya.
Sehubungan itu, sebagai Presiden PKR, Anwar meminta rakyat Sabah memberi sokongan kepada calon PH pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) padaSabtu ini bagi memastikan suara yang lebih kuat untuk menjaga kebajikan rakyat.
“Sebab itu, saya minta sokongan terhadap kedua-dua calon PH di DUN (Dewan Undangan Negeri) Elopura, Vivian Wong Shir Yee dan calon kerusi DUN Tanjong Papat, Tang Szu Ching,” katanya.
Menyentuh mengenai tuntutan 40 peratus hasil Sabah, Anwar memberi jaminan isu berkenaan akan diselesaikan dan kerajaan komited menunaikan janji berkenaan.
“Kita sudah janji, kita akan laksanakan. Ini bukan sekadar cakap-cakap seperti kerajaan sebelum ini, kita akan buat,” katanya.
Anwar turut menekankan keperluan memperkukuh kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memudah cara penyampaian bantuan dan penyaluran peruntukan kepada negeri.
Beliau berkata politik matang amat diperlukan untuk memastikan aspirasi rakyat dipenuhi, dengan kepimpinan yang tidak mementingkan diri.
Anwar, yang baru pulang daripada lawatan kerja ke Afrika, turut berkongsi bagaimana masyarakat di benua itu mengagumi Malaysia sebagai negara aman yang hidup harmoni dalam kepelbagaian kaum dan latar belakang.
“Itulah keunikan Malaysia — kita hidup aman dalam kepelbagaian,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Szu Ching berkata suara golongan muda akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri sekiranya diberikan mandat mewakili Tanjong Papat. Vivian pula menegaskan bahawa politik ekstrem tidak wajar diamalkan sepanjang kempen dan isu utama yang perlu diketengahkan ialah aspirasi rakyat, termasuk akses air bersih serta keperluan asas lain.
Dalam lawatan ringkasnya ke Sandakan, Anwar turut menghadiri sesi santai di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Karamunting yang menjadi Bilik Gerakan Keadilan bagi kerusi itu, dihadiri Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Firdaus Akbar Khan dan calon PH Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin.
Beliau kemudian menghadiri sesi ramah mesra serta makan malam bersama komuniti Cina dari kawasan Karamunting dan Elopura di Dewan Hakka Sandakan.

