KOTA KINABALU - Sabah berkemungkinan menerima kesan dengan pengurangan subsidi susulan krisis tenaga global yang berlaku jika ia terus berpanjangan.
Bagaimanapun, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, meskipun konflik Asia Barat memberi kesan kepada banyak negara termasuk Malaysia, namun Sabah bernasib baik kerana mempunyai kapasiti penjanaan tenaga yang mencukupi.
Menurut beliau, Sabah ketika ini memiliki kira-kira 1,400 megawatt (MW) bekalan elektrik, dengan sekitar 1,100 MW dijana menggunakan gas yang dibekalkan terus oleh Petronas ke negeri ini.
"Jadi kita tidak akan banyak terkesan daripada itu. Cuma lebih kurang 300 MW bergantung kepada diesel.
"Ini yang kita perhatikan kerana jika harga diesel meningkat, ia boleh memberi kesan kepada keadaan di Sabah," katanya selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Media di sini pada malam Sabtu.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata, konflik yang berlaku di Iran telah mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan bekalan tenaga dunia serta peningkatan harga minyak dan barangan, sekali gus memberi tekanan kepada ekonomi global.
"Pada hari Khamis yang lalu, Perdana Menteri telah memanggil satu mesyuarat khas Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi memberi taklimat mengenai masalah yang kita hadapi bukan sahaja di Malaysia tetapi juga negara-negara lain akibat perang di Iran.
"Kita menghadapi krisis tenaga dan juga kemungkinan krisis ekonomi susulan kenaikan harga minyak dan barangan.
"Walaupun konflik itu berlaku di Timur Tengah, kesannya dirasai di seluruh dunia termasuk dari segi ekonomi dan krisis tenaga. Sebab itu kita diminta untuk sentiasa memantau keadaan dan mengambil langkah sewajarnya," katanya.
Tambah beliau, kerajaan Persekutuan juga telah mengambil langkah penjimatan termasuk kemungkinan pelaksanaan bekerja dari rumah dalam kalangan penjawat awam.
"Bermula 15 April ini, kemungkinan ramai penjawat awam akan bekerja dari rumah bagi menjimatkan tenaga dan perbelanjaan," katanya.
Ditanya mengenai kawasan pedalaman yang banyak bergantung kepada penggunaan diesel termasuk menara telekomunikasi, Hajiji memaklumkan setakat ini belum terjejas.
“Memang akan memberi kesan sekiranya harga diesel naik, tetapi Sabah masih menerima subsidi diesel yang membantu meringankan beban.
"Setakat ini belum ada gangguan di kawasan pedalaman (untuk bekalan diesel), namun kita akan terus memantau," katanya.



