
PENGHASILAN produk koko kini mulai berkembang luas dan bukan sekadar menjadi bahan makanan atau penyedap dalam pengeluaran produk di pasaran tempatan.
Koko kini menjadi antara tanaman yang menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara termasuk Sabah sendiri kerana banyak syarikat tempatan dan antarabangsa kini menghasilkan produk dengan hasil koko yang dikeluarkan oleh tanah Borneo, khasnya Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun, usaha ini adalah kejayaan yang dijana setelah pelbagai usaha dan langkah dilakukan oleh kerajaan dan petani koko tempatan.
Usaha penanaman pokok koko dan pengeluaran hasil biji koko berkualiti yang mampu dijual ke pasaran bagi tujuan penghasilan produk lain-lain adalah usaha bersama dan meluas yang wajar diketahui oleh semua pihak.
Bak kata pepatah, ‘jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’, begitu juga usaha pihak Lembaga Koko Malaysia (LKM) dan petani koko tempatan yang berusaha keras dalam memastikan hasil biji koko tempatan mampu memenuhi standard piawaian bagi dipasarkan kepada pembeli.
Projek Ladang Koko Kelompok di Tamparuli Pelbagai usaha dilaksanakan dan dirancang oleh kerajaan khasnya LKM dalam membantu meningkatkan kebolehupayaan penduduk tempatan yang menjalankan pertanian melalui penanaman koko.
Sabah sebagai sebuah negeri yang diakui sebagai penyumbang terbesar pengeluaran koko untuk negara dan asas kepada pengiktirafan ini sudah pasti bermula daripada usaha petani koko.
Sebuah projek Ladang Koko Kelompok diwujudkan di Kampung Lokos yang terletak di Tamparuli kini menjadi sebuah pusat yang menarik perhatian ramai pihak serta pemain industri yang mengusahakan produk berasaskan koko di seluruh negara.
Wartawan Harian Ekspres berkesempatan meluangkan masa mengikuti lawatan yang dianjurkan oleh LKM dan melawat ke tapak projek tanaman tersebut baru-baru ini.
James Pango antara yang berpengalaman dalam penanaman koko berkongsi serba sedikit berkenaan projek yang disertainya itu.
“Projek ini dikendalikan oleh Lembaga Koko Malaysia dan pada awalnya, seramai 35 peserta termasuk saya sendiri, kami ikut sama untuk mengusahakan tanaman koko di sini.
“Saya sebenarnya mula berjinak-jinak sebagai petani koko sejak 2012 dan sekarang saya pun sudah berusia 66, tapi saya masih semangat untuk terus mengusahakan kebun koko saya ini kerana saya nampak, tanaman koko kita di Sabah ini sudah ada impak besar,” katanya.
Jelas James lagi, projek koko kelompok itu semakin berkembang sejak 2014 dengan peningkatan peserta kepada 48 orang.
“Semakin hari, kita boleh nampak ada pertambahan sebab orang kampung lain yang tengok kita mengusahakan tanaman koko ini, mereka pun bertanya dan berminat, lalu ikut menjadi peserta.
“Projek ini tidak mungkin boleh berjaya tanpa bantuan daripada kerajaan, khasnya LKM yang sangat banyak memberi bantuan, sokongan, dan pelbagai lagi.
“LKM juga tolong kita dari segi bekalan anak pokok dan benih koko, baja pokok, racun serangga, memberikan kita latihan teknikal dan juga membimbing kita semua tentang teknik memasarkan hasil tanaman koko kita,” katanya lagi.
Selain itu, James juga menjelaskan bahawa pihak LKM sentiasa memantau dan memberi perhatian kepada projek tersebut dan peserta yang mengikuti projek itu turut konsisten dalam usaha menjaga kualiti pokok koko di kebun masing-masing.
“Masa awal-awal para peserta ikut dulu, memang banyak cabaran dan saya sendiri pun juga di awal peringkat jadi petani koko, memang kita banyak kekurangan.
“Waktu itu, kita semua tidak pernah mengikuti sebarang kursus dan tidak dapat pendedahan berkenaan pokok koko.
“Kalau cerita pasal teknik cantuman pokok koko pun, lagi lah kita tidak tahu, tapi syukur kepada Tuhan, peluang dan rezeki yang ada ini kami semua manfaatkan dan tidak akan sia-siakan kerana ini adalah peluang untuk kami semua membangunkan ekonomi penduduk tempatan di kampung ini juga,” tambahnya.
James turut berkongsi bahawa beliau dan peserta lain sangat aktif dan memberi komitmen penuh bagi menjayakan Projek Ladang Koko Kelompok itu.
“Kami hadir dalam kursus yang pihak LKM adakan kerana setiap kursus ada perkongsian ilmu daripada pihak mereka yang kami boleh guna untuk perbaiki dan tambah pengetahuan tentang tanaman koko.
“Semua peringkat dari ahli kelompok, hingga ke tahap kemahiran para peserta meningkat dan mampu menjaga tanaman kita semua masing-masing, syukur,” katanya. Menurut James lagi, cabaran utama yang dihadapi oleh pengusaha tanaman koko biasanya berkaitan dengan serangan kulat dan makhluk perosak.
“Musuh kita adalah kulat dan ulat daun yang mana dua perkara ini adalah penyebab kepada buah koko menjadi hitam dan akhirnya buah itu rosak.
“Namun begitu, ada cara yang boleh kita lakukan dan kita dilatih untuk membuat penjagaan rapi dengan membuang ranting yang menghalang cahaya dan mengawal pertumbuhan yang tidak sihat.
“Jika kita jaga dua perkata ini, maka kita boleh kurangkan masalah kerosakan tanaman koko kita sekaligus buah koko yang dihasilkan akan berkualiti, tidak hitam dan boleh dijual,” ujarnya lagi.
Hasil tanaman koko dari Projek Ladang Koko Kelompok Hasil tanaman yang berjaya dituai akan melalui beberapa proses terlebih dahulu, sebelum buah koko boleh dijual kepada pembeli.
“Buah koko yang kita sudah tuai ini akan kita keringkan terlebih dahulu, dan selepas kering baru kita akan jual kepada pembeli persendirian biasanya, tapi ada juga syarikat swasta yang datang beli, selain itu, pastinya buah koko kita juga dijual melalui saluran rasmi LKM.
“Ladang koko saya dengan keluasan sehektar, boleh cecah pengeluaran kira-kira 500 kilogram setiap kali musim menuai, iaitu dalam tempoh enam bulan, tapi ini pun bergantung kepada faktor cuaca dan juga kesuburan tanam.
“Sekarang, harga semasa di pasaran adalah dalam lingkungan RM37 bagi setiap kilogram buah koko yang baik dan kerana itu saya serta rakan-rakan lain kerja keras kerana memang tanaman koko ini memberikan hasil lumayan dan membantu ekonomi peserta projek selain pendapatan kami juga stabil,” kata James.
Dalam pada itu, LKM juga membina sebuah rumah yang dijadikan pusat pengeringan khas biji koko yang dituai bagi memastikan kualiti biji koko mengikut kehendak dan piawaian pasaran koko antarabangsa.
“Untuk keringkan biji koko ini, kita akan mula dengan proses pemeraman selama lima hingga tujuh hari dan ini bertujuan untuk membuang rasa pahit dan mengeluarkan aroma koko.
“Kemudian, biji koko itu akan dijemur sampai kering sepenuhnya, sebelum kita jual di pasaran kepada pembeli kita,” tambah James lagi sambil menunjukkan biji kopi yang sedang dikeringkan di rumah pengeringan khas semasa lawatan kami ke sana.
Projek Ladang Koko Kelompok Kampung Lokos adalah sebuah kejayaan yang membuktikan bahawa penanaman koko mempunyai potensi sebagai ruang menjana pendapatan bagi penduduk setempat dan boleh dijadikan sebagai peluang ekonomi sampingan sesetengah komuniti.
Justeru itu, inisiatif LKM dalam mewujudkan model berkelompok wajar dipuji khasnya apabila kerana projek terbabit dapat mendorong kepada usaha dan kerjasama erat dalam komuniti setempat terutamanya di kawasan luar bandar dan desa.
Pastinya, melalui sokongan berterusan daripada kerajaan dan LKM, industri koko Sabah mampu berkembang pesat, seiring kemajuan hasil bumi yang lain seperti petroleum, gas, makanan laut dan industri pelancongan.
Industri koko mempunyai masa depan yang cerah untuk dibangunkan sebagai antara perusahan utama yang boleh diusahakan oleh penduduk tempatan khasnya di luar bandar atau desa, khasnya yang mempunyai kebun atau tanah yang sesuai untuk penanaman koko.
Andai industri koko tampil sebagai industri besar yang membawa peningkatan kepada penjanaan ekonomi Sabah, sudah pasti banyak peluang kerjaya boleh diwujudkan untuk anak tempatan Sabah, khasnya belia.
Galakan untuk meningkatkan perusahaan dan penanaman koko di Sabah Ketua Pengarah LKM Datuk Dr. Ramle Kasin berkata pihaknya bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi sentiasa meningkatkan usaha untuk membangunkan industri koko tanah air.
“Paling utama, kita fokus kepada usaha menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada para petani koko sebagai sebuah galakan.
“Kita akan sentiasa beri dorongan kepada semua petani koko kerana kita mahu mereka terus bekerja dengan lebih tekun bagi memajukan tanaman koko mereka, selain daripada meningkatkan penjanaan ekonomi mereka sendiri,” katanya.
Tambah Ramle, kerajaan juga menyediakan pelbagai bentuk bantuan asas selain bantuan kewangan kepada petani koko.
“Bantuan lain yang disediakan adalah seperti input pertanian macam baja tanaman, racun serangga dan bahan kawalan penyakit yang diberikan secara percuma kepada petani koko.
“Bagaimanapun, ini tertakluk kepada kelayakan dan peruntukan semasa daripada kerajaan serta kita juga menyediakan program pemulihan ladang koko sedia ada dan kita bantu untuk kerja-kerja penanaman koko baru.
“Aspek lain yang kita tidak pernah terlepas pandang bagi menjaga kebajikan petani koko dan kualiti hasil koko yang dihasilkan adalah kursus dan latihan teknikal serta teori yang mana objektifnya adalah untuk meningkatkan kemahiran para petani koko kita dan mengemaskini pengetahuan sedia ada mereka,” jelas Ramle.
Ramle turut berkongsi bahawa LKM sering menekankan aspek kepentingan menjaga kualiti tanaman koko dari awal proses penanaman pokok.
“Kita sentiasa ingatkan para petani bahawa penting untuk menjaga kualiti koko dari awal usaha penanaman.
“Selebihnya adalah bergantung kepada mereka sendiri untuk meneruskan usaha dan bertanggungjawab memastikan hasil tanaman mereka berkualiti dan mampu dipasarkan dengan harga yang lumayan.
“Kita beri bantuan baja sekitar 60 hingga 70 peratus untuk keperluan para petani. Selebihnya bergantung kepada mereka sama ada mahu tambah baja sendiri, mengawal serangga perosak dan menjaga kualiti pokok kerana pokok koko yang sihat dan berkualiti, akan mengeluarkan hasil yang lebih banyak,” jelas Ramle lagi.
