
TAMBUNAN: Kerajaan Negeri melalui Sabah Net Sdn Bhd sebagai pelaksana telah memasang 300 peranti Starlink di kawasan yang sukar mendapat akses internet di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, ini menjadikan Sabah negeri pertama memasang Starlink terbanyak kepada masyarakat luar bandar.
Katanya, Starlink telah menerima kelulusan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk beroperasi di negara ini pada 17 Julai 2023.
“Berikutan kelulusan ini, Kerajaan Negeri menyambut baik kehadiran peranti tersebut yang menyediakan akses pantas dan stabil di samping memberi rangkaian luas ke kawasan terpencil dan luar bandar,” katanya semasa berucap merasmikan Internet Komuniti Luar Bandar Kampung Makatip, di sini, pada Sabtu.
SPONSORED CONTENT Hajiji says positive economic achievements prove Sabah govt’s commitment Kota Kinabalu: Chief Minister, Datuk Seri Hajiji Noor, emphasised that the positive economic achievements over the past three years underscore the Sabah government’s steadfast commitment to both the administration and development of the state. Read more Jeffrey yang juga Menteri Pertanian Dan Perikanan merangkap Adun Tambunan dan Ahli Parlimen Keningau berkata, pada 28 Mei lalu, pemasangan Starlink mencapai 100 peratus merangkumi daerah termasuk Tuaran, Tambunan, Ranau, Keningau, Kota Belud, Kota Marudu, Kuala Penyu, Tenom, Tawau, Kalabakan,
Sandakan,Tongod, Pitas, Kunak, Kudat, Ranau, Beluran, Telupid, Sipitang, Beaufort, Lahad Datu, Semporna, Nabawan, Sook, Papar, Sipitang dan Penampang.
Katanya, dengan pencapaian tersebut semua penduduk luar bandar diharap dapat memperoleh manfaat dan berusaha untuk mengambil peluang yang ada dengan optimis demi meningkatkan, memperkasa dan mentransformasikan komuniti luar bandar sebagai mercu tanda kemajuan dan inovasi.
Bagaimanapun, katanya, perkhidmatan internet dengan peranti Starlink ini hanya penyelesaian interim sehingga projek Pelan Jalinan Digital Nasional (Jendela) siap, dijangka pada akhir 2025.
Pada masa sama, Jeffrey berkata, Kerajaan Sabah telah membangunkan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0 (2021-2025).
Katanya, antara hala tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0 ini adalah mempercepat pelaksanaan Pelan Strategik Kerajaan Digital di Sabah menjelang 2025.
“Salah satu hala tuju pelan ini adalah meningkatkan kadar penembusan internet yang dapat memberi akses yang lebih meluas kepada rakyat Sabah,” katanya,
Beliau berkata, sudah tiba masanya penduduk luar bandar turut sama menikmati peluang yang ada, demi meningkatkan kualiti hidup dan pembangunan ekonomi di Sabah.
“Bagi kawasan Pedalaman yang mengambil masa untuk didirikan menara mahupun infrastruktur gentian optik, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah memilih alternatif iaitu dengan memasang peranti Starlink di seluruh kawasan yang dikenal pasti mempunyai masalah ketersambungan internet,” jelasnya.
Katanya, transformasi digital ini akan melonjakkan proses perubahan teknologi digital dalam berbagai aspek kehidupan yang melibatkan masyarakat secara keseluruhan.
Tambahnya, era transformasi digital yang akan menghilangkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar, akan membuka peluang ke arah inovasi dan memberikan peluang kepada masyarakat luar bandar untuk lebih berkembang maju.
Sebagai contoh, beliau berkata penduduk sudah boleh berhubung dengan menggunakan panggilan video, mengakses harga pasaran semasa hanya dalam talian, mempelajari ilmu pertanian / penternakan / perikanan dan banyak lagi menerusi video dalam talian, yang secara langsung akan dapat meningkatkan produktiviti mereka.
“Pelajar luar bandar juga mendapat manfaat di mana mereka kini sudah boleh mengakses sumber pendidikan melalui kursus dalam talian dan mendapat ilmu pengetahuan global yang akan membuka potensi menyeluruh mereka,” jelasnya.
Selain itu, beliau berkata usahawan akan dapat mencapai pasaran lebih luas dengan memulakan perniagaan dalam talian.
Pada majlis itu, Jeffrey menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri iaitu Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (Bakti) bernilai RM148,200 untuk 544 pelajar SPM dan 197 pelajar STPM daerah Tambunan, Bantuan Aktiviti PIBG (Bagus) RM66,000 bagi 33 sekolah daerah Tambunan dan dana Festival Stem RM15,000 Pejabat Pendidikan Daerah Tambunan.
Hadir sama Menteri KSTI Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Setiausaha Tetap KSTI Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim; Pengerusi Sabah Net Sdn Bhd Datuk Azaman @ Azman Ruslan, serta Pegawai Daerah Tambunan Sobitun Makajil.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

