
SEMPORNA: Kerajaan Negeri merancang pelbagai program sempena Tahun Melawat Sabah 2027 selaku pemangkin untuk memperkukuh jenama Sabah sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, program Tahun Melawat Sabah 2027 bukan sahaja akan meneruskan momentum positif Tahun Melawat Malaysia 2026, malah memastikan pertumbuhan industri pelancongan yang mampan dan inklusif.
Katanya, selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, kerajaan negeri akan terus mempergiat pelbagai inisiatif, program dan acara berimpak tinggi bagi menarik lebih ramai pelawat ke Sabah.
“Ini termasuk penganjuran program seperti Regatta Lepa Semporna, promosi pelancongan berasaskan komuniti serta memperkukuh kempen pemasaran digital bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa,” katanya pada majlis perasmian Regatta Lepa Semporna, di sini, pada Jumaat.
Teks ucapan beliau disampaikan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Dalam ucapannya, Hajiji berkata pelbagai program yang dirancang meletakkan Sabah di landasan tepat untuk mencapai sasaran empat juta ketibaan pelawat sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, di samping menjadi asas kepada Tahun Melawat Sabah 2027.
“Tahun lalu, Sabah mencatat prestasi memberangsangkan dengan menerima 3.79 juta pelawat,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri akan terus menyokong usaha memperkukuh kedudukan Semporna sebagai destinasi pelancongan budaya dan maritim utama di rantau ini.
“Dalam dunia yang semakin moden dan mencabar, memelihara warisan budaya bukan lagi satu pilihan, sebaliknya tanggungjawab bersama bagi memastikan identiti dan khazanah kita tidak ditelan zaman.
“Dalam konteks ini, kerajaan negeri terus memberi keutamaan kepada pembangunan sektor pelancongan sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi Sabah, dengan kekayaan warisan budaya negeri menjadi tarikan utama kepada pelawat,” katanya.
Beliau berkata Regatta Lepa membuktikan acara berasaskan budaya mampu menjadi produk pelancongan berimpak tinggi.
“Setiap tahun, ribuan pelawat datang ke Semporna untuk menyaksikan keindahan perahu lepa, persembahan kebudayaan, pertandingan tradisional dan pelbagai aktiviti yang dianjurkan.
“Kehadiran pelawat ini memberi manfaat secara langsung kepada pengusaha hotel, pengusaha bot pelancong, peniaga kecil, usahawan kraftangan, pengusaha makanan dan minuman serta masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata perahu lepa sejak sekian lama menjadi simbol kehidupan masyarakat Bajau di Semporna.
Selain berfungsi sebagai pengangkutan di laut, katanya, perahu itu turut melambangkan kemahiran pertukangan, kreativiti dan nilai seni masyarakat berkenaan.
“Keunikan inilah yang menjadikan Regatta Lepa begitu istimewa. Ia menampilkan keindahan budaya, adat resam dan nilai warisan yang diwarisi turun-temurun.
“Warisan seperti ini perlu terus dipelihara kerana ia merupakan khazanah yang amat bernilai,” katanya.


