
Kota Kinabalu: Industri halal di Sabah akan terus berkembang sehingga peringkat antarabangsa dengan wujudnya satu platform digital, CoreHalal, untuk memperkasakan lagi sistem pengurusan halal di negeri ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Datuk Yakub Khan berkata CoreHalal ialah platform digital yang dibangunkan oleh syarikat pembangunan aplikasi, Synxsoft Sdn Bhd yang berpangkalan di sini dengan memberi tumpuan kepada pengurusan risiko, audit dan latihan.
“CoreHalal telah dibangunkan berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). CoreHalal mempunyai potensi besar kerana menjadi satu-satunya platform digital yang menyediakan perkhidmatan sedemikian.
“Penggunaan platform digital seumpama ini dalam perniagaan bukan sahaja meningkatkan pembangunan industri halal di Sabah malah juga memastikan masyarakat Sabah tidak ketinggalan dalam merebut peluang melalui perkembangan teknologi,” katanya di sini, pada Selasa.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan delegasi syarikat Synxsoft Sdn Bhd yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Mazrie Mahat.
Yakub berkata platform digital CoreHalal akan memberi panduan kepada usahawan mengenai proses mendapatkan pengiktirafan halal dan membantu meningkatkan kecekapan perniagaan halal secara digital.
“Ini kerana platform ini bukan sahaja tertumpu kepada sektor makanan dan minuman tetapi juga merangkumi semua sektor yang disenaraikan di bawah industri halal seperti farmaseutikal, barangan pengguna dan kosmetik,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri akan terus menyokong CoreHalal untuk bekerjasama dengan rakan strategik bukan sahaja di Malaysia malah juga di luar negara seperti Australia, Jepun, Korea Selatan, Brunei serta Dubai dan Emiriah Arab Bersatu.
Beliau menambah, pembangunan pesat industri halal Malaysia telah berjaya menembusi pasaran global khususnya sektor makanan halal, dan menjadikan Malaysia destinasi pilihan untuk mengembangkan perniagaan berkaitan barangan dan perkhidmatan halal.
“Perkembangan ini menunjukkan bahawa industri halal di Malaysia menerima respons positif di negara ini dan juga di peringkat global.
“Ia menawarkan pelbagai peluang kepada pengeluar produk dan perkhidmatan kerana permintaan untuk kedua-duanya meningkat seiring dengan populasi dunia dan juga penerimaan pengguna bukan-Islam,” tambahnya.
Sementara itu, anak jati Tuaran, Mazrie berkata pihaknya berterima kasih kepada semua agensi kerajaan yang telah membantu mereka membangunkan platform itu.
“Kami juga amat berbesar hati menerima sokongan penuh daripada Kementerian sejak pewujudan platform ini.
“Kami akan mengembangkan pasaran platform CoreHalal ke Australia pada September, dan Jepun pada Oktober ini.
“Usaha seperti ini diharapkan dapat memberikan inspirasi kepada syarikat pemula teknologi tempatan di Sabah untuk terus maju dan mengembangkan pasaran mereka ke peringkat global,” katanya.
Menurutnya, Synxsoft bakal menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Halal Development Corporation (HDC) semasa Persidangan Perniagaan Halal Dunia di Melbourne, Australia pada 1 September depan.
Antara fungsi HDC adalah memperjuangkan standard halal termasuk proses audit dan pengesahan sijil halal untuk melindungi integriti halal, mempengaruhi syarikat tempatan, membangun dan mempromosikan produk halal Malaysia serta konsep dan perkhidmatan di seluruh Malaysia.
Sementara itu, pengurus besar Pusat Kreatif Ekonomi Dan Inovasi Sabah (Scenic) Sabah, Viviantie Sarjuni berkata pemeteraian MoU di Australia itu akan mempromosikan produk halal digital Malaysia di peringkat global.
“Oleh itu, kami menjangkakan hasil tahunan sekurang-kurangnya RM500,000 daripada MoU itu.
“Bagi menjayakannya, Scenic telah membantu CoreHalal dari segi memberi subsidi perjalanan ke Australia sekali gus membantu mereka dalam mempromosikan penyelesaian halal mereka di peringkat global,” tambahnya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

