Sabah perlu jadi pengeluar makanan utama: Jeffrey

LocalFood
3 Mar 2026 • 3:16 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAMBUNAN: Sabah perlu melakukan anjakan paradigma daripada sekadar menjadi pengguna kepada pengeluar makanan utama bagi menangani krisis makanan global, kata Ahli Parlimen Keningau merangkap Adun Tambunan, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Beliau berkata negeri ini harus melakukan anjakan paradigma itu dengan memanfaatkan sepenuhnya kelebihan tanah yang luas dan subur serta kedudukan geografi yang strategik berhampiran pasaran besar seperti China, Filipina, dan Indonesia.

Jeffrey berkata demikian semasa Majlis Menandatangani dan Pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) serta Perasmian Agri-Spark Hub Tambunan yang melibatkan kerjasama strategik dengan Perbadanan Pinjaman Sabah, di Dewan TRCC Tambunan, baru-baru ini.

Beliau menyifatkan kebergantungan kepada bahan import perlu dikurangkan dengan memperkasakan pengeluaran makanan berskala besar melalui integrasi teknologi moden seperti Internet Kebendaan (IoT) dan sistem pintar.

Langkah ini dilihat sebagai kunci utama dalam memastikan agenda keselamatan makanan dan peningkatan Tahap Sara Diri (SSL) Negeri Sabah dapat dicapai dengan lebih efisien.

Jeffrey turut memberikan penghormatan kepada golongan muda, khususnya pasukan Agridata yang diketuai oleh Matthew Datuk Johnny Kulai, kerana berani menerajui revolusi pertanian luar bandar yang lebih komersial dan berdaya saing.

Beliau memberikan contoh kejayaan usahawan tempatan di Kampung Kaingaran dan Kampung Gagaraon, yang memanfaatkan teknologi moden seperti sistem bioflok dalam penternakan ikan tilapia, sebagai model yang patut dicontohi oleh seluruh daerah di Sabah.

​Beliau turut berkongsi visi pembangunan masa depan melalui rancangan pembangunan zon agro-pelancongan bersepadu yang merentasi kawasan Sunsuron hingga ke Gunung Wakid. Projek ini bakal menggabungkan elemen ladang moden, penternakan ikan, dan pelancongan desa bagi mencipta ekosistem ekonomi yang mampan.

Jeffrey percaya kerjasama erat antara kerajaan, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan di bawah pimpinan Datuk Jamawi Jaafar, institusi kewangan, serta sektor swasta adalah tunjang kepada transformasi sektor pertanian ini.​Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, serta barisan kepimpinan tertinggi kementerian dan daerah.

Jeffrey menyeru semua pihak agar terus menyokong inisiatif Agri-Spark sebagai pencetus perubahan untuk menjadikan Sabah peneraju pertanian berteknologi tinggi di rantau ini, sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat pada masa hadapan.