
PENAMPANG: Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Masidi Manjun menggesa kontraktor tempatan meningkatkan keupayaan serta memastikan setiap projek disiapkan mengikut jadual, spesifikasi dan standard kualiti ditetapkan.
Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata keupayaan melaksanakan projek dengan baik penting bagi membina keyakinan rakyat serta mengukuhkan reputasi syarikat kontraktor tempatan.
“Sabah memerlukan kontraktor tempatan yang mampu melaksanakan projek dengan baik, menyiapkannya mengikut jadual serta mengekalkan kualiti kerja.
“Ini menjadi asas dalam membina keyakinan terhadap syarikat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Sabah Ke-27 di Hotel Majulan pada Selasa.
Masidi berkata industri pembinaan memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri kerana setiap projek bukan sahaja menyediakan kemudahan kepada rakyat malah mewujudkan peluang kepada pekerja, pembekal dan perniagaan tempatan.
Katanya keperluan pembangunan Sabah masih besar khususnya dalam sektor infrastruktur, perumahan, utiliti dan sektor ekonomi lain yang menawarkan peluang kepada kontraktor tempatan.
“Bagi rakyat yang paling penting ialah hasilnya jalan yang boleh digunakan, bekalan air sampai ke rumah mereka dan kemudahan awam yang berfungsi,” katanya.
Masidi berkata sebagai Menteri Kewangan beliau mahu memastikan setiap ringgit wang awam memberikan nilai sewajarnya melalui pelaksanaan projek yang berkesan dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Setiap ringgit wang awam mesti memberikan nilai yang sepatutnya atau memaksimumkan nilai ringgit itu. Kejayaan pembangunan perlu diukur berdasarkan manfaat yang diterima rakyat, bukan semata-mata jumlah peruntukan yang dibelanjakan,” katanya.
Sehubungan itu beliau mengingatkan kontraktor supaya menilai kemampuan sebenar sebelum menerima sesuatu projek termasuk memastikan aliran tunai mencukupi, tenaga kerja tersedia serta pengurusan projek yang baik.
Katanya sebarang masalah yang berpotensi menjejaskan kemajuan projek perlu dilaporkan lebih awal supaya penyelesaian dapat dicari sebelum kerja terganggu.
Masidi turut menggalakkan kontraktor Sabah meningkatkan kemahiran teknikal, memperkukuh pengurusan kewangan dan mengekalkan rekod prestasi yang baik bagi membolehkan lebih banyak syarikat tempatan berkembang menjadi kontraktor utama yang berwibawa.
Beliau berkata reputasi sesebuah syarikat dibina melalui kualiti kerja serta keupayaannya menyiapkan projek yang diamanahkan dengan baik.
Beliau turut menggesa kontraktor memanfaatkan teknologi yang bersesuaian bagi memantau kemajuan projek, mengawal kos dan mengurangkan pembaziran selain memberi perhatian sewajarnya terhadap keselamatan pekerja dan perlindungan alam sekitar.
Sementara itu Masidi berharap kontraktor Sabah tidak terlalu bergantung kepada projek kerajaan sebaliknya meneroka peluang dalam sektor swasta termasuk tenaga, minyak dan gas, pelancongan serta logistik.
Katanya kerjasama strategik antara syarikat juga perlu diperkukuh bagi meningkatkan kepakaran dan membuka peluang pasaran baharu.
Masidi turut menggesa PKMM Sabah memainkan peranan lebih besar dalam membantu ahlinya mendapatkan latihan, memahami keperluan pembiayaan serta meningkatkan kapasiti dan daya saing syarikat masing-masing.
“Berikan ruang kepada kontraktor muda untuk belajar dan memimpin. Pengalaman kontraktor senior yang digabungkan dengan pengetahuan dan kemahiran generasi muda mampu memperkukuh syarikat tempatan dalam jangka panjang,” katanya.
Beliau menegaskan kontraktor perlu melaksanakan tanggungjawab dalam setiap projek dengan memastikan kerja disiapkan mengikut jadual, mematuhi spesifikasi serta memberi manfaat kepada rakyat.
“Itulah sumbangan paling bermakna yang boleh kita berikan kepada pembangunan Sabah,” katanya.
Masidi turut berharap Mesyuarat Agung Tahunan PKMM Sabah Ke-27 menghasilkan keputusan praktikal yang dapat membantu ahli serta memperkukuh peranan persatuan itu dalam pembangunan industri pembinaan negeri.
Katanya Kerajaan Negeri dan PKMM Sabah perlu terus bekerjasama bagi membangunkan industri pembinaan yang lebih profesional dan berdaya saing serta mampu menyumbang secara berterusan kepada pembangunan Sabah.

.jpg)