
Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah dan kerajaan persekutuan sedang membincangkan pengembalian kuasa imigresen ke Sabah bagi membendung masalah aliran kemasukan bebas ke Sabah melalui Labuan.
Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata ini selaras dengan tuntutan parti itu supaya hak dan keselamatan rakyat Sabah dilindungi seperti yang termaktub dalam Persekutuan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Tuntutan kami telah diambil serius, yang menyaksikan pembentukan portfolio Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di bawah Jabatan Perdana Menteri (Dr Maximus dilantik sebagai Menteri),” katanya dalam ucapan dasar pada persidangan perwakilan tahunan ke-36 dan ke-37 serta pemilihan parti di Dewan Wisma Hakka, Khamis.
