Sabah Ports lantik Jason Jouti sebagai Pengurus Besar baharu

LocalBusiness & Finance
21 Sep 2026 • 5:52 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sabah Ports lantik Jason Jouti sebagai Pengurus Besar baharu Image from: Sabah Ports lantik Jason Jouti sebagai Pengurus Besar baharu liza21/09/2026 - 17:52 Ts. Jason Jouti Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Sept – Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) melantik Ts. Jason Jouti sebagai Pengurus Besar baharu syarikat untuk meneruskan usaha memperkukuh peranan syarikat sebagai pemudah cara perdagangan, hubungan pengangkutan dan pertumbuhan ekonomi Sabah.

 

Jason mempunyai lebih 20 tahun pengalaman profesional, termasuk pengalaman luas dalam industri pelabuhan, selain sudah berkhidmat dengan Sabah Ports sejak Mac 2012.

 

Dalam satu kenyataan, Sabah Ports memaklumkan, sepanjang tempoh berkhidmat itu, Jason memegang pelbagai jawatan kepimpinan dan terlibat dalam bidang infrastruktur pelabuhan, kejuruteraan, pengurusan aset serta penyelenggaraan, projek utama dan pembangunan kemudahan pelabuhan di seluruh Sabah.

 

“Beliau merupakan jurutera awam dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Universiti Malaya serta Sarjana Sains Pengurusan Aset dan Penyelenggaraan dari Universiti Teknologi PETRONAS,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengalaman dalaman jadi kelebihan

Sebelum pelantikan itu, Jason berkhidmat sebagai Pemangku Pengurus Besar SPSB dan terlibat dalam operasi harian syarikat, inisiatif pembangunan pelabuhan serta hubungan dengan pihak berkepentingan utama.

 

Perkembangan kerjayanya daripada bidang teknikal dan kejuruteraan kepada jawatan Pengurus Besar mencerminkan penekanan SPSB terhadap pembangunan kepimpinan dalaman, selain mengekalkan pengetahuan organisasi dan operasi yang telah dibina sejak sekian lama.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Suria Capital Holdings Berhad dan Sabah Ports Sdn Bhd, Datuk Ahmad Rizal Dahli berkata Jason membawa pengetahuan operasi, pengalaman serta pemahaman mendalam mengenai Sabah Ports.

 

Beliau berkata pelantikan itu memberikan kesinambungan dalam kepimpinan syarikat dan yakin Jason dapat terus membangunkan organisasi, meningkatkan keupayaan tenaga kerja serta memastikan pelabuhan Sabah kekal responsif terhadap keperluan ekonomi dan komuniti perniagaan negeri itu.

 

Fokus operasi, aset dan hubungan serantau

“Sebagai Pengurus Besar, Ts. Jason akan menyediakan kepimpinan keseluruhan bagi operasi pelbagai pelabuhan SPSB, perkhidmatan teknikal, aktiviti komersial dan inisiatif korporat.

 

“Keutamaan beliau termasuk meningkatkan kebolehpercayaan dan keselamatan operasi, menambah baik prestasi aset serta penyampaian perkhidmatan, meningkatkan keupayaan organisasi dan mengenal pasti peluang yang dapat mewujudkan nilai jangka panjang untuk SPSB dan negeri,” katanya.

 

Ahmad Rizal berkata Jason juga akan terus memperkukuh hubungan SPSB dengan Kerajaan Negeri Sabah, pihak berkuasa pelabuhan, syarikat perkapalan, penyedia logistik, pelanggan serta pihak berkepentingan industri lain.

 

Usaha itu penting bagi memastikan pembangunan pelabuhan Sabah terus selari dengan keperluan ekonomi dan perindustrian negeri, selain menyokong kedudukan Sabah dalam landskap perdagangan dan maritim serantau.

 

Dalam pada itu, beliau berkata SPSB akan terus meneroka peluang untuk meningkatkan hubungan dengan pasaran berdekatan, termasuk menerusi koridor ekonomi Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina Timur (BIMP-EAGA), di samping meningkatkan kecekapan dan kebolehpercayaan aset pelabuhan sedia ada. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved