
KUALA LUMPUR 16 Dis – Sabah Ports Sdn Bhd menjangkakan prestasi tahun hadapan yang baik disokong oleh perdagangan pintu masuk yang stabil, keyakinan pelabur yang semakin meningkat serta permintaan berterusan terhadap perkhidmatan logistik yang boleh dipercayai selaras dengan usaha Sabah mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian bekalan serantau.
Mengimbas kembali sorotan sepanjang 2025, pengendali pelabuhan itu berkata, aktiviti ekonomi negeri dengan pergerakan stabil dalam minyak sawit, baja, bahan industri, barangan pengguna dan sektor pembuatan telah menjadi faktor utama yang membentuk aliran perdagangan Sabah dan terus menjadi asas kepada jumlah pengendalian pelabuhan Sabah.
Pengarah Urusan Sabah Ports, Datuk Ng Kiat Min, yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Suria Capital Holdings Bhd berkata, pertumbuhan kontena kekal positif apabila permintaan serantau kembali stabil dan industri utama seperti pembuatan, runcit serta pertanian mengekalkan kitaran import dan eksport seperti biasa.
"Dari Januari hingga Oktober, Sabah Ports mencatat prestasi operasi yang stabil yang didorong terutamanya oleh pertumbuhan kontena, dengan jumlah pengendalian meningkat 1.5 peratus kepada 14.52 juta tan berbanding 14.30 juta tan pada 2024," kata Ng.
Pengendalian kontena berada pada 443,884 TEUs untuk 10 bulan pertama, meningkat 6.8 peratus daripada 415,605 TEUs pada 2024, disokong oleh aliran perdagangan yang stabil dan permintaan yang kukuh.
Pengembangan Pelabuhan Kontena Sapangar Bay yang sedang berlangsung adalah pencapaian paling penting yang dicatatkan untuk tahun ini, menurut pengendali pelabuhan itu.
Pembangunan itu berjalan dengan lancar dan dijangka akan meningkatkan kapasiti dermaga, ruang simpanan kontena, serta kesiapsiagaan peralatan dengan ketara bagi menyokong permintaan kontena Sabah yang meningkat dan potensi pengalihan kargo pada masa hadapan.
"Kami telah menyiapkan pembinaan jeti baharu Terminal Minyak Sapangar Bay, yang telah berada dalam operasi percubaan sejak November 2025. Ini merupakan pencapaian utama bagi operasi terminal minyak kami.
“Jeti baharu ini meningkatkan keselamatan, menambah fleksibiliti operasi, dan memperbaiki kecekapan pengendalian kapal bagi kargo petroleum dan cecair berkaitan,” katanya.
Bagi operasi Pelabuhan Tawau, kapasiti dan kecekapan diperkukuh lagi dengan perolehan dua kren dermaga baharu, termasuk peningkatan peralatan yang ketara untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan masa kapal berada di pelabuhan.
Beliau berkata, kedua-dua kren ini dijangka akan mula digunakan dalam suku pertama tahun hadapan.
Sabah Ports juga menegaskan bahawa pelabuhan Malaysia, yang diperkukuh oleh rangkaian pintu masuk strategik Sabah, berada pada kedudukan yang baik untuk mengekalkan kepentingan serantau mereka dan akan terus menyokong pertumbuhan berasaskan eksport Malaysia sehingga 2026.
Ng berkata aktiviti eksport minyak sawit yang stabil, produk daripada pengeluar kaca solar Kibing Group yang berpangkalan di China, foil tembaga daripada pengeluar global SK Nexilis, dan produk industri lain terus menjadi asas kepada jumlah pengendalian pelabuhan dan mengukuhkan peranan pelabuhan dalam laluan perdagangan serantau. -- BERNAMA



