Sabah, Sarawak kini berstatus wilayah, bukan negeri: Zahid

LocalPolitics
14 Jan 2023 • 11:46 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kuala Lumpur: Kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia bukan lagi berstatus negeri sebaliknya wilayah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur menjadikan kedudukan wilayah Sabah dan Sarawak menjadi lebih strategik untuk dibangunkan sebagai kawasan pertumbuhan baharu.

“Kerajaan Perpaduan yang terbentuk hari ini mempunyai obligasi perundangan dan moral yang cukup besar terhadap Sabah dan juga Sarawak,” kata beliau.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata demikian dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini pada Jumaat, yang dihadiri 2,820 perwakilan.

Sehubungan itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dilaksanakan segera.

“Walaupun ada beberapa perkara pokok yang telah dilaksanakan, masih banyak perkara yang menjadi asas kepada MA63 perlu diterjemah pelaksanaannya,” katanya.

Ahmad Zahid berkata limpahan pembangunan di Kalimantan perlu digarap segera agar Sabah dan Sarawak lebih pesat membangun.

“Sejak 1963, Sabah dan Sarawak telah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, dan kini adalah masa terbaik untuk kita sama-sama memajukan Sabah dan Sarawak, seiring dengan perkembangan di keseluruhan kepulauan Borneo termasuk Kalimantan, Indonesia,” kata beliau.

Pada 4 Januari lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemimpin sekarang perlu mempunyai tekad untuk mempertahankan semangat Malaysia dalam MA63 selain menghormati perjanjian itu yang merupakan keputusan serta cerminan kebijaksanaan kepimpinan terdahulu.

Anwar turut mengumumkan jumlah peruntukan bagi geran khas kepada Sabah dan Sarawak mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan harus dikaji setiap lima tahun agar jumlahnya lebih munasabah selain bersetuju supaya pelaksanaan mana-mana projek dengan kos di bawah RM50 juta di kedua-dua negeri diputuskan hampir sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan perlu mematuhi peraturan kewangan.

Sementara itu, Ahmad Zahid menegaskan Umno Pusat akan tetap bersama dengan kepimpinan Umno Sabah di sebalik ketidaktentuan politik di negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata Umno Pusat juga akan sentiasa mendukung citra serta strategi kepimpinan Umno Sabah yang dipimpin Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Sabah dan Sarawak adalah rakan politik strategik, maka sebarang bentuk kerajaan pada masa sekarang dan masa hadapan, Umno tetap memilih bersama-sama dengan rakan-rakan politik dari wilayah berkenaan demi kestabilan negara.

“Malah apa yang berlaku mutakhir ini di Sabah, saya ingin membuat penegasan bahawa Umno Pusat akan tetap bersama dengan Umno Sabah,” katanya.

Pada 11 Januari lepas, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan rombakan Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Sabah yang antaranya menyaksikan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dilantik Timbalan Ketua Menteri I menggantikan Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah.

Terdahulu, pada 6 Januari, Bung Moktar mengumumkan pendirian Umno dan BN Sabah untuk menarik sokongan terhadap Hajiji, susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional telah dilanggar.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.