‘Sabah sedia hadapi El Nino’

LocalEnvironment
25 Jun 2026 • 3:55 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

‘Sabah sedia hadapi El Nino’

TAWAU: Jabatan Pertanian Sabah meningkatkan pemantauan serta sedia mengaktifkan pelan luar jangka bagi mengekang impak fenomena El Nino daripada menjejaskan pengeluaran makanan sekali gus memastikan bekalan untuk pasaran tempatan sentiasa mencukupi.

Langkah itu diambil selaras amaran daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa fenomena El Niño diramal membawa cuaca lebih panas dan kering yang berpotensi berterusan sehingga awal 2027 dan memberi kesan signifikan kepada sektor pertanian.

Pengarah Pertanian Sabah Datuk Jifrin Mohamad berkata fenomena cuaca panas ekstrem yang melanda negara ketika ini berada di bawah pengawasan pakar bagi memastikan kebajikan dan hasil usahawan tani tidak terjejas teruk.

“Kita menggalakkan langkah penanaman secara berjadual bagi mengelakkan tanaman bertembung dengan puncak impak cuaca panas,” katanya pada perasmian 10 lot gerai jualan baharu Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Batu 15, Jalan Apas di sini.

Katanya, persediaan merangkumi sistem pengairan berjadual yang sistematik melalui rangkaian paip dari tangki simpanan utama termasuk kesiapsiagaan logistik seperti penghantaran bekalan air tambahan menggunakan lori tangki sekiranya taburan hujan terus merosot.

Jifrin berkata TKPM Tawau ketika ini bergantung sepenuhnya kepada bekalan air sungai sedia ada dengan sistem paip sistematik yang disalurkan secara terus ke lot-lot usahawan tani terlibat.

Tambahnya, Jabatan Pertanian juga menjalin kerjasama dengan agensi lain termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Pemangku Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) merangkap Pemangku Pengerusi JPBD Mohd Shoffian Mohd Said berkata usaha pemantauan berterusan dilakukan secara kolektif melibatkan agensi kerajaan mengikut kapasiti masing-masing.

Shoffian berkata situasi semasa tidak diabaikan pihaknya melalui pemantauan rapat perubahan paras air sungai termasuk di loji-loji air terawat, risiko penularan penyakit seperti dehidrasi dan strok haba, ancaman insiden kebakaran serta impak-impak lain yang berkaitan dengan fenomena berkenaan.

“Perubahan cuaca adalah perkara biasa yang berlaku setiap tahun dan kita sedia maklum dengan perkembangan terkini seperti yang diumumkan oleh MetMalaysia, justeru itu juga langkah-langkah perlu sentiasa berada dalam pemerhatian serius dan tindakan susulan kita,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Datuk Nizam Abu Bakar Titingan meminta orang awam bertenang dan memberi ruang kepada agensi pakar melaksanakan tugas bagi memastikan impak El Nino diberi perhatian termasuk memastikan rantaian keterjaminan makanan.

Nizam turut mengajak usahawan-usahawan tani supaya memanfaatkan perkembangan teknologi digital dan meneroka peluang menjadi pempengaruh bagi memasarkan produk mereka secara langsung menerusi media sosial untuk mencapai jangkauan pasaran yang lebih luas dan besar.

“Di sebalik cabaran cuaca yang dihadapi, penerapan teknologi moden dan digital kekal menjadi pemacu utama sektor pertanian terutamanya dalam menarik penglibatan golongan belia untuk menceburkan diri dengan mempraktikkan kaedah terkini yang selari perkembangan semasa.

“Misalnya semenjak dua tahun kebelakangan ini, teknologi Revolusi Industri 5.0 (IR 5.0) seperti pengaplikasian kaedah pertanian pintar, penanaman cili padi kawalan jarak jauh melalui telefon pintar dan penggunaan dron untuk pembajaan serta kawalan racun sudah mula diintegrasikan di TKPM,” katanya.

Mengulas kewujudan 10 lot gerai jualan TKPM Tawau, Nizam berkata kemudahan itu mampu membantu usahawan tani memasarkan produk secara terus dari ladang pada harga berpatutan malah berpotensi diangkat sebagai produk agropelancongan dengan kerjasama pihak berwajib.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved