
Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri secara konsisten melantik penjawat awam wanita yang berkelayakan dan berkebolehan kepada jawatan penting dalam pentadbiran negeri sebagai rakan kongsi yang sama dalam pembangunan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Christina Liew berkata zaman apabila wujudnya diskriminasi gender secara jelas sudah berakhir, ketika wanita yang sudah berkahwin diberi pelantikan sementara dalam perkhidmatan awam negeri, khususnya pada 1970-an.
“Hari ini, wanita tidak lagi dipinggirkan dalam perkhidmatan awam, sebaliknya mereka yang layak diberi pengiktirafan sewajarnya, dengan dilantik kepada jawatan penting dalam Kerajaan Negeri.
“Jarang sekali kita mempunyai tiga wanita yang berkhidmat sebagai setiausaha tetap di kementerian masing-masing pada satu masa, dan ini menepati sasaran 30 peratus pembabitan wanita dalam proses membuat keputusan.
SPONSORED CONTENT Hajiji says young business professionals' inputs needed to develop Sabah Kota Kinabalu: Chief Minister Datuk Seri Hajiji Noor said he welcomed inputs from young business professionals to assist in policy formulation. Read more “Langkah ini, antara lain, mencerminkan kesaksamaan gender di pihak Kerajaan Negeri. Di bawah kendalian Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, kita mempunyai kerajaan yang mesra gender. Datuk Christina Liew
“Ia juga menunjukkan penerimaan Kerajaan yang semakin meningkat terhadap peranan penting wanita dan kebolehan mereka, di samping penjawat lelaki,” kata Liew dalam perutusan Hari Wanita Kebangsaan, Jumaat.
Tiga wanita yang dimaksudkan ialah Josie Lai Mei Sing (Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar), Maria Chong (Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat), dan Datuk Norlijah Danin (Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar).
(Wanita mencatat pencapaian penting pada 1987 apabila Datuk Chin Kui Bee menjadi penjawat awam wanita pertama dilantik sebagai Setiausaha Tetap, ditugaskan di Kementerian Perkhidmatan Sosial ketika itu).
Memetik dua lagi contoh wanita berwibawa diberi peluang memegang jawatan kanan, Liew, yang juga Adun Api-Api, berkata statistik menunjukkan ketika ini, terdapat tujuh timbalan setiausaha tetap wanita (melepasi sasaran 30 peratus), dan daripada jumlah 44 ketua jabatan, 11 adalah wanita (sekali lagi melebihi sasaran 30 peratus).
“Dengan kadar pencapaian ini, kami yakin akan memiliki seorang lagi timbalan setiausaha kerajaan negeri dalam masa terdekat berdasarkan kekananan, pengalaman dan prestasi kerja,” tambah Menteri.
(Datuk Noni Said dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri wanita pertama pada 2005, diikuti Datuk Maznah Ghani, Datuk Asnimar Sukardi dan Datuk Mariam Omar Matusin).
Wanita terkemuka lain dalam perkhidmatan awam Sabah termasuk Bendahari Negeri Datuk Mary Sipaun dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (EPU) Datuk Jasmine Teo.
Pada 1995, Malaysia membuat komitmen pada Persidangan Wanita Sedunia Keempat PBB di Beijing, China untuk mencapai sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam jawatan membuat keputusan dalam sektor awam menjelang 2000.
Dan pada 2004, Kerajaan Persekutuan membentuk Jawatankuasa Kabinet Dalam Kesaksamaan Gender untuk menggalakkan kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita. Pada tahun yang sama, Kerajaan memperkenalkan dasar 30 peratus penyertaan wanita dalam proses membuat keputusan dalam sektor awam.
Sementara itu, Liew mengingatkan penjawat awam wanita mengenai gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar untuk tadbir urus baik, produktiviti meningkat, kecekapan bertambah baik dan mendukung integriti perkhidmatan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

