Sabah tumpu bangun, budayakan STI: Hajiji

25 Aug 2023 • 1:58 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri menitikberatkan dan terus memberi tumpuan kepada pembangunan dan pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, bagi mempergiat pembudayaan dan pengaplikasian STI di peringkat akar umbi, Kerajaan Negeri dengan bantuan Majlis Pembangunan Teknologi dan Inovasi Sabah (MaPTIS) melaksanakan beberapa program baharu seperti Program Jelajah SMJ KSTI, Majlis Anugerah Sains Sabah, Program Jelajah Astronomi Sabah dan Sabah Malaysia Techlympics 2023.

Menurutnya, Digital Internet Of Thing (IoT) Sandbox yang pertama di Borneo telahpun beroperasi sepenuhnya di sini yang bertujuan menggalakkan masyarakat berdaya kreatif dan berinovasi, di samping meningkatkan pengkomersilan hasil inovasi tempatan.

“Kerajaan Negeri juga akan meneruskan program inovasi masyarakat luar bandar melalui Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dan Pusat e-Desa. Kita juga merancang untuk menubuhkan Pusat Sains dan Inovasi di setiap zon.

SPONSORED CONTENT Daily Express members: Enjoy 1 for 1 signature cocktails and more at Hyatt Centric Kota Kinabalu Kota Kinabalu: DAILY EXPRESS is partnering with Hyatt Centric Kota Kinabalu to offer an exclusive deal for our members. Read more “Projek yang sedang dalam proses untuk pelaksanaannya ini merangkumi pembinaan Pusat Sains dan “Maker Space” di Perpustakaan Negeri cawangan Sandakan dan Tawau.

“Justeru Kerajaan Negeri akan mewujudkan lebih banyak perpustakaan di negeri ini yang dilengkapi dengan bahan bacaan dan sumber-sumber rujukan terkini berkaitan STI”, katanya ketika merasmikan Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2023 Peringkat Negeri Sabah dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Sabah di Dewan Kuliah Pusat Baru Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Khamis.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri (KSTI), Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif.

Hajiji berkata, pelaksanaan Malaysia Techlympics 2023 merupakan pertandingan berteraskan STI yang dirangka untuk menarik minat para pelajar dan belia khususnya dalam mempelajari teknologi terkini serta mengaplikasinya secara lahiriah menerusi ciptaan-ciptaan inovasi seperti robotik dan dron.

Menurutnya, jumlah penyertaan pada Malaysia Techlympics bagi negeri Sabah meningkat tahun ini daripada 31,955 pada 2022 kepada 78,884 pada 2023.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong dan menyambut baik inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (Mosti).

Beliau berkata, kolaborasi strategik Kerajaan Negeri bersama Mosti melalui KSTI Sabah termasuklah Kembara Sains Borneo yang sedang berlangsung bermula 21 Ogos lalu hingga 1 Oktober meliputi kawasan-kawasan seperti Kudat, Kota Marudu, Pitas, Kimanis, Kalabakan dan Pensiangan.

Hajiji berharap anak-anak Sabah dapat memanfaatkan inisiatif Kerajaan melalui Mosti, khususnya dalam menggerakkan pelaksanaan pelbagai inisiatif, program dan aktiviti serta mewujudkan kesedaran dan pembudayaan STI secara bersepadu.

“Ketersediaan Kerajaan Negeri dalam membantu menjayakan pelaksanaan Karnival MSN 2023 Peringkat Negeri Sabah dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Sabah adalah manifestasi komitmen kita bagi membudayakan STI dalam kalangan rakyat setempat.

“Pelaksanaan karnival ini juga untuk meraikan kepelbagaian STI dan memberi peluang kepada penggerak dan pengamal STI tempatan mengetengahkan teknologi dan inovasi mereka kepada seluruh rakyat Sabah khususnya golongan sasar belia dalam bidang teknologi,” tambahnya.

Beliau turut menyeru anak-anak Sabah agar mengambil bahagian dalam karnival itu dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Sabah dengan pengisian dari Mosti dan rakan-rakan strategik lain yang berlangsung sehingga Oktober 2023.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.