Saya mengenali seorang sukarelawan bernama Laila (bukan nama sebenar). Laila merupakan seorang sukarelawan di bawah satu pertubuhan sukarela. Dalam masa yang sama dia bekerja freelance sebagai penjaga warga emas.
Dahulu, Laila bekerja di kilang. Perkahwinannya juga tidak bertahan lama; dia diceraikan suami ketika sedang mengandungkan anak ketiga. Ujiannya cukup getir. Dia perlu membesarkan dua anak yang lain seorang diri, tanpa sokongan keluarga, kerana perkahwinannya dahulu tidak direstui. Suatu hari, ketika mahu ke tempat kerja, duit di tangannya hanya RM2.00 sahaja. Dia merayu kepada keluarganya agar dapat meminjamkan RM1.00 lagi, namun rayuannya tidak diendahkan. Dalam keadaan sarat mengandung tujuh bulan, dia terpaksa berjalan sejauh enam kilometer ke perhentian bas yang membolehkan dia sampai ke kilang dengan RM2.00. Sepanjang perjalanan itu, dia menangis teresak-esak, tubuhnya lemah dan hatinya hiba. Tiba di perhentian bas, seorang makcik penjual kerepek segera bangun membimbingnya, risau dengan keadaannya yang tidak berdaya. Dalam tangisnya, tanpa disengajakan, Laila meluahkan segala yang meremukkan hatinya. Makcik itu menatapnya dan menitipkan nasihat, “Nanti selepas bersalin, cuba-cubalah kau berniaga. Kau kena kuat. Kena banyak sabar. Anak-anak masih kecil. Mereka hanya bergantung pada kau saja.” Selepas bersalin, Laila mula berniaga kerepek dengan modal yang diberikan ayahnya secara sembunyi-sembunyi. Pada masa yang sama, dia melakukan pelbagai pekerjaan untuk menambah pendapatan. Salah satunya adalah menjadi penjaga warga emas di pusat jagaan swasta. Kerajinan dan kesungguhannya membuatkan Laila cepat menguasai kemahiran mengurus warga emas. Sehinggalah satu ketika, dia memutuskan untuk bekerja secara freelance. Kesungguhannya membuahkan hasil. Laila kini memperoleh pendapatan bulanan yang memuaskan. Beban kewangannya semakin ringan, masalah yang selama ini bertimpa-timpa, satu demi satu berlalu pergi. Dia juga kerap menerima hadiah daripada majikan, termasuk percutian ke luar negara. Hadiah paling besar! Sebuah kereta, hanya dalam tempoh sembilan hari bekerja—sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam mimpinya. Laila bersyukur; kehidupannya telah berubah menjadi lebih baik. Namun, Laila tetap seorang anak dan seorang kakak yang penyayang. Dia terus mengambil berat hal keluarganya, walaupun kenangan seringgit dahulu masih berbekas di hatinya.
Inilah hikmahnya bersabar seorang Laila. Sabar mengajarnya untuk sendiri memujuk hati, menguatkan fikiran dan perasaan, terus tegap bertahan dan mengukuhkan kepercayaannya bahawa dia masih punya tuhan tempat memanjat doa dan bergantung harapan. Maka benarlah, dalam Surah Al Baqarah (2:155), Allah SWT berfirman: “Dan sesungguhnya akan kami beri ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, buah-buahan dan berilah berita gembira kepada orang yang sabar.”
Begitulah kita sebagai sukarelawan dan sebagai insan; ujian pasti hadir dan kadangkala umpama ombak yang membadai tanpa henti. Namun, selagi kapal kehidupan kita berlabuh pada sauh kesabaran yang kukuh, kita tidak akan mudah hanyut walau badai datang merusuh. Kerana kesabaran berupaya menenangkan jiwa, menguatkan pendirian dan memastikan kita terus teguh mengemudi arah. Maka, sesudah badai reda, kita akan bangkit dengan lebih matang dan berani, lalu terus belayar dengan penuh keyakinan menuju destinasi yang ditujui.
(Pendapat saya mengenai kesukarelawanan, suatu pegangan atau prinsip yang rapat dengan saya, juga terkandung dalam buku saya bertajuk, Suka Rela Sukar Lawan, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 2024) – Sebarang pertanyaan, hubungi zakiahsenin@gmail.com
Zakiah Senin adalah sukarelawan Yayasan SALAM Malaysia, sebuah NGO yang berdedikasi dalam bidang kesukarelawanan di Malaysia sejak 30 tahun lalu.
Zakiah Senin (zakiahsenin@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
