Sabri Yunus, Ahmad Fedtri sambung pengajian di UPSI melalui APEL.Q

27 Aug 2026 • 1:35 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sabri Yunus, Ahmad Fedtri sambung pengajian di UPSI melalui APEL.Q

TANJUNG MALIM – Hasrat pelakon dan pengarah terkenal, Mohd Sabri Yunus untuk kembali ke bangku pengajian selepas lebih empat dekad akhirnya tercapai apabila menerima surat tawaran mengikuti Program Sarjana Pendidikan Kesusasteraan Melayu melalui laluan Accreditation of Prior Experiential Learning for Award of Qualifications (APEL.Q) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Turut menerima surat tawaran ialah personaliti televisyen dan pengacara, Ahmad Fedtri Yahya bagi mengikuti Program Sarjana Pendidikan Bahasa Melayu menerusi laluan sama.

Kedua-duanya menjadi pelajar rintis program APEL.Q yang dibangunkan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI.

Sabri, 65, berkata peluang itu cukup bermakna selepas dua percubaannya untuk menyambung pengajian di universiti sebelum ini tidak kesampaian ketika berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1980-an dan awal 1990-an.

“Saya sebenarnya telah dua kali berusaha untuk menjadi pelajar di universiti semenjak saya masuk ke Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1982 sebagai pelukis, namun hasrat itu tidak kesampaian kerana kekangan untuk meninggalkan pekerjaan,” katanya pada program Executive Talk 6.0 Keselamatan Siber di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, semalam.

Menurutnya, meskipun tidak berpeluang mengikuti pengajian secara formal, proses menimba ilmu tidak pernah terhenti kerana menganggap setiap individu yang ditemuinya sebagai guru yang memberikan pengalaman dan pengetahuan.

Katanya, menerusi pengajian APEL.Q, beliau mahu menjalankan kajian berkaitan pantun khusus dalam Dikir Barat, termasuk menjelaskan fungsi serta makna sebenar istilah ‘Tukang Karut’ yang sering disalah fahami masyarakat.

“Saya nak teruskan pembelajaran saya dan yang nak saya bawa adalah kajian saya tentang Pantun Khusus Dalam Dikir Barat. Pantun dalam Dikir Barat berbeza dengan pantun biasa kerana ia mempunyai beberapa elemen yang tersendiri,” katanya.

Sementara itu, Fedtri, 45, berkata beliau teruja bergelar warga UPSI dan memilih bidang Bahasa Melayu kerana percaya penggunaan bahasa mempunyai kaitan rapat dengan tahap tamadun serta keilmuan masyarakat.

“Saya tidak pernah menjangkakan untuk berada di kampus UPSI yang indah dan bersejarah ini. Kali ini bergelar sebagai siswa, saya bersama Abang Sabri Yunus telah memulakan APEL.Q dan saya fokus kepada bidang bahasa,” katanya.

Beliau berkata usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu diperkasakan, khususnya dalam kalangan generasi muda yang kini berdepan perubahan gaya komunikasi akibat pengaruh media sosial dan teknologi digital.

Fedtri turut mahu memanfaatkan peluang berada di UPSI untuk menggali serta mendokumentasikan khazanah bahasa dan pantun yang masih tersimpan dalam kalangan masyarakat agar warisan berkenaan dapat dipelihara serta dipersembahkan dalam bentuk lebih ilmiah.

Dalam pada itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata kehadiran Sabri dan Fedtri sebagai warga universiti memberi peluang kepada warga UPSI untuk berkongsi pengalaman serta kepakaran dalam bidang seni, bahasa dan budaya.

Menurut beliau, pengalaman kedua-dua tokoh berkenaan turut penting dalam membantu usaha membina semula jati diri budaya bangsa, khususnya menerusi interaksi mereka dengan kira-kira 25,000 pelajar UPSI yang bakal menjadi guru dan berperanan membentuk generasi muda.

“Pelajar-pelajar di UPSI, lebih kurang 25,000 orang, akan menjadi guru dan merekalah yang akan menjadi pempengaruh kepada anak-anak muda kelak,” katanya.- KOSMO! ONLINE

The post Sabri Yunus, Ahmad Fedtri sambung pengajian di UPSI melalui APEL.Q appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved