
SADA Siap Siaga Hadapi Fenomena El Nino
ALOR SETAR, 23 Jan (Bernama) — Syarikat Air Darul Aman (SADA) bersiapsiaga untuk menghadapi fenomena El Nino yang dijangka akan berterusan sehingga suku kedua tahun ini.
SADA dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pemantauan yang dilakukan syarikatnya itu mendapati kapasiti pengeluaran air harian di beberapa loji rawatan air (LRA) menunjukkan trend penurunan yang berpunca daripada cuaca panas dan kering.
“Ketersediaan air mentah merupakan isu yang kritikal terutamanya semasa musim kemarau dan jika keadaan ini berterusan, pengoperasian LRA secara keseluruhannya akan turut terkesan.
Di Kedah, beberapa kawasan dijangka akan terkesan dengan situasi ini iaitu kawasan-kawasan yang memperoleh bekalan air daripada LRA jenis ‘headworks’ yang mana ia beroperasi secara separa rawatan dan bergantung kepada kualiti dan kuantiti air mentah semasa,” kata SADA.
SADA turut berkata daripada 35 LRA di seluruh Kedah, empat daripadanya merupakan LRA jenis “headworks” yang menerima sumber bekalan air mentah daripada gunung atau bukit antaranya LRA Merbok, LRA Tupah dan LRA Gurun di Daerah Kuala Muda serta LRA Pulau Tuba di Daerah Langkawi.
“SADA komited dalam mengatasi isu ini dengan mengambil tindakan seperti pemantauan rapi dan berkala paras sungai di semua muka sauk, pemantauan kualiti air mentah secara lebih kerap bagi mengatasi kejadian pelanggaran kualiti terutamanya dari aspek bau dan warna serta sesi libat urus bersama agensi kerajaan berkaitan bagi pelaksanaan tindakan mitigasi seperti pelepasan air empangan utama serta pembenihan awan.
Selain itu, Pelan Tindak Balas Kecemasan akan diaktifkan untuk bekalan air sekiranya paras air sungai dan empangan menjadi terlalu rendah, melakukan pembaikan kebocoran paip agihan utama dan retikulasi serta menyediakan sokongan logistik dalam memobilisasi bekalan air melalui lori tangki dan tangki statik,” katanya.
Katanya, antara kawasan yang berisiko terjejas sepanjang musim kemarau ini ialah Merbok, Semeling, Tikam Batu, Tanjung Dawai, Pengkalan Bujang, Bedong, Gurun dan Pulau Tuba di Langkawi.
“Pengguna dinasihatkan untuk menjimatkan penggunaan air harian sepanjang musim kemarau ini dan sebarang pertanyaan atau aduan berkaitan bekalan air boleh terus menghubungi talian 1300-88-0017 atau menerusi e-mel di aduan@sada.com.my,” katanya.
Sumber: BERNAMA
The post SADA Siap Siaga Hadapi Fenomena El Nino appeared first on Siakap Keli.

