Safe Kids Malaysia, Prasarana lancar program Minggu Keselamatan Jalan Raya PBB ke-7

23 May 2023 • 4:42 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Safe Kids Malaysia, Prasarana lancar program Minggu Keselamatan Jalan Raya PBB ke-7

zulfadli

23/05/2023 - 16:42

KUALA LUMPUR 23 Mei - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersekutu bagi keselamatan jalan raya, Safe Kids Malaysia Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Prasarana Malaysia Bhd melancarkan program Minggu Keselamatan Jalan Raya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-7.

Program yang dijalankan setiap dua tahun tersebut bertujuan memberi kesedaran umum tentang kaedah untuk mengatasi kemalangan dan kematian jalan raya yang tinggi di peringkat global.

Bertemakan ‘Rethink Mobility’, program pada tahun ini menekankan penggunaan pengangkutan awam selain berbasikal dan berjalan kaki sebagai kaedah perjalanan alternatif bagi membantu mengurangkan kemalangan di jalan raya.

Ia juga bertujuan mengajak semua pihak berkenaan termasuk penggubal dasar, operator perkhidmatan pengangkutan awam serta pengguna jalan raya untuk memikirkan semula kaedah pergerakan (mobiliti) yang lebih selamat bagi orang ramai.

Terdahulu, majlis pelancaran program tersebut dihadiri Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, Prof Dr Kulanthayan KC Mani; Ketua Pegawai Kesihatan Keselamatan Sekuriti, Persekitaran dan Pembangunan Lestari Kumpulan Prasarana, Idzqandar Abu Bakar; Pengarah Bahagian Keselamatan Jalan Raya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dr Wong Yau Dueen dan Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr Muhammad Marizwan Abdul Manan.

Menurut Dr Kulanthayan, setiap tahun, kira-kira 50 juta orang di seluruh dunia menjadi mangsa kemalangan jalan raya dan daripada jumlah tersebut, seramai 1.3 juta orang maut.

Tambah beliau, kemalangan jalan raya merupakan pembunuh utama kanak kanak dan golongan muda di peringkat global.

"Pada 2022, Malaysia mencatatkan 545,630 kemalangan, atau satu kemalangan setiap minit serta 6,067 mangsa maut dalam kemalangan jalan raya atau satu kematian setiap 90 minit.

"Dengan kerjasama semua pihak termasuk penyedia perkhidmatan pengangkutan awam, NGO dan pengguna jalan raya, kita dapat membantu mengurangkan jumlah kemalangan dan kehilangan nyawa di jalan raya," katanya.

Sementara itu, ketika berkongsikan tentang peranan Prasarana dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam rel dan bas kepada orang ramai, Idzqandar berkata, pihaknya komited dalam memainkan peranan bagi menggalak serta memperkasa penggunaan pengangkutan awam.

"Melalui inisiatif yang dilaksanakan Prasarana, harapan kami adalah agar kesesakan jalan raya dapat dikurangkan dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya," katanya.

Antara inisiatif yang dilaksana Prasarana termasuk kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dalam mewujudkan laluan khas bas bagi menambah baik kebolehpercayaan perkhidmatan, pas perjalanan My50 untuk rakyat Malaysia, dan kerjasama strategik dengan Kumpool serta penyedia perkhidmatan e-hailing. - DagangNews.com