
Teka-teki mengenai status perkahwinan pelakon tampan, Hisyam Hamid akhirnya terjawab apabila empunya diri membuka mulut kepada pihak media dan mengesahkan dia dan isterinya Rosmawati Hanafi sudah bercerai.
Bagaimanapun, pelakon berusia 39 tahun itu enggan mengulas lanjut tentang punca perpisahan dan juga tarikh sebenar perceraian mereka.
Memetik laporan beberapa media, Hisyam memberitahu walaupun telah bercerai, hubungannya dengan bekas isteri masih baik dan Rosmawati masih menguruskan kerjaya seninya.
“Buat masa ini kami selesa berkawan baik. Lebih daripada itu saya tak pasti, masa yang akan tentukan. Saya tak nak sebab satu titik hitam yang berlaku, musnahkan segalanya. Masing-masing dah minta maaf. Buat masa ini, jalan terbaik adalah dengan tidak lagi menjadi suami isteri,” ulas Hisyam.
Sementara itu, Hisyam juga mengakui baik dia dan bekas isteri masing-masing mahu melupakan perkara yang terjadi dan ingin terus memandang ke hadapan bagi meneruskan kehidupan masing-masing.

"Kami hanya mahu fokus mara ke depan. Masing-masing sudah pun membawa haluan sendiri. Dia adalah ibu kepada anak-anak saya. Hampir 20 tahun kami bersama, sepanjang 20 tahun itu tak semua negatif dan banyak perkara baik yang berlaku.
“Apa paling penting, kami sama-sama ada tanggungjawab terhadap anak-anak dan mereka juga berada di bawah penjagaan saya,” ujar Hisyam ketika ditemui di sidang media drama Cinta Untuk Sekali Lagi dan Bunga Salju di Zebra Square, Kuala Lumpur hari ini.
Konflik rumahtangga Hisyam dan Rosmawati mula dihidu apabila pasangan ini dilihat tidak lagi berkongsi foto-foto di akaun media sosial masing-masing seperti selalu.
Awal Mei lalu, Hisyam enggan mengulas lanjut tentang status perkahwinannya kerana masih belum bersedia dan bimbang kenyataan yang dikeluarkan menjejaskan perasan anak-anak.
Hisyam dan Rosmawati mendirikan rumah tangga dengan pada 2006 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata, Nurish Syameliah, 17, dan Haydeen, 15. - Getaran, 23 Mei 2024
Foto : IG Hisyam Hamid



