Sah! Suspek ‘sentuh’ budak perempuan dalam masjid miliki kad OKU sejak kecil

LocalPolitics
22 Feb 2025 • 2:26 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Suspek lelaki berusia 19 tahun yang ditahan berhubung dakwaan kes cabul seorang kanak-kanak perempuan ketika mangsa sedang menunaikan solat Subuh di sebuah masjid dekat Batang Kali, di sini, semalam, sah memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU).

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Azmir Kassim, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dan semakan oleh pihaknya mendapati individu terbabit mempunyai kad OKU sejak kecil.

“Hasil pemeriksaan kita mendapati dia (suspek) mempunyai kad OKU ‘Learning Disability’ (masalah pembelajaran) sejak kecil lagi,” katanya.

image is not available

Media sebelum ini melaporkan polis menunggu pengesahan daripada pihak JKM berhubung kad OKU milik lelaki berusia 19 tahun yang ditahan berhubung kes cabul itu.

Suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 28 Februari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.

Terdahulu, tular di media sosial memaparkan seorang lelaki berkopiah putih menyelinap masuk ke ruang solat wanita sebelum memeluk seorang kanak-kanak perempuan yang sedang sujud, dari arah belakang tanpa disedari jemaah lain.

image is not available

Berdasarkan rakaman itu, lelaki terbabit dilihat mengangkat mangsa dan membawanya ke ruangan lain sebelum dipercayai dicabul. Bagaimanapun, mangsa dapat melepaskan diri selepas bergelut dengan suspek.

Sumber: Harian Metro (Muhaamad Hafis Nawawi)