SAHABAT santuni komuniti Orang Asli menerusi ibadah korban

5 Jun 2026 • 6:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: SAHABAT santuni komuniti Orang Asli menerusi ibadah korban
Kesemua penerima sumbangan terdiri daripada komuniti Orang Asli dan penduduk setempat bergambar kenangan bersama tetamu kehormat yang menghadiri program Ibadah tersebut.
Image from: SAHABAT santuni komuniti Orang Asli menerusi ibadah korban
Rizan (kanan) menyerahkan sumbangan daging korban kepada mereka yang hadir sempena Majlis Ibadah Korban 1447H/2026 yang berlangsung di pekarangan SASUPER pada 30 Mei lalu.
Image from: SAHABAT santuni komuniti Orang Asli menerusi ibadah korban
Antara jemputan yang hadir menyerikan program Ibadah korban yang diadakan di pekarangan SASUPER di Kemaman pada 30 Mei lalu.

KEMAMAN – Kelab Sahabat Prihatin Kemaman (SAHABAT) dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam (SASUPER) berjaya menganjurkan Majlis Ibadah Korban 1447H/2026 yang berlangsung di pekarangan sekolah berkenaan di Jabur di sini pada 30 Mei lalu.

​Program bermula seawal jam 8.30 pagi itu diadakan bertepatan dengan 13 Zulhijjah 1447H iaitu hari Tasyrik ketiga dan hari terakhir bagi ibadah korban untuk tahun ini.

​Penaung SAHABAT, Rizan Ali berkata, penganjuran kali ini amat bermakna kerana ia dimeriahkan lagi dengan kehadiran masyarakat Islam Orang Asli dari perkampungan setempat.

​Menurutnya, majlis seumpama ini merupakan tahun ketiga berturut-turut dianjurkan oleh SAHABAT sebagai manifestasi komitmen berterusan dalam menyantuni komuniti Islam Orang Asli di kawasan tersebut.

**media[3541447]**

​"Program ini merupakan aktiviti tahunan SAHABAT setiap kali ketibaan Hari Raya Aidiladha.

​"Kita bersyukur kerana, tahun ini juga merupakan tahun ketiga berturut-turut pihak kami menganjurkannya sebagai usaha mengukuhkan hubungan ukhuwah serta kebersamaan antara kita," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

​Dalam pada itu, Rizan turut menzahirkan penghargaan terhadap semua penyumbang, sukarelawan, pihak sekolah, YADIM, JAKOA serta semua pihak yang menyumbang tenaga, masa dan wang ringgit bagi menjayakan program berkenaan.

​"Semoga segala amal kebajikan serta pengorbanan yang kita lakukan ini diterima oleh ALLAH SWT dan menjadi asbab keberkatan buat semua," katanya lagi.

**media[3541448]**

Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Terengganu, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin.

​Beliau turut berpeluang menyampaikan 'Tausiyah Madani' yang menyentuh mengenai nilai pengorbanan, kesyukuran, serta kepentingan memelihara perpaduan dalam kalangan masyarakat.

​Turut hadir memberikan sokongan terhadap usaha kebajikan dan pembangunan komuniti tersebut ialah wakil Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Terengganu, Shazliza Abdullah.

​Kemuncak program menyaksikan agihan daging korban dan sumbangan duit raya kepada murid dan kanak-kanak komuniti Orang Asli yang hadir.