hamden17/09/2026 - 18:21 KUALA LUMPUR 17 Sept - Saham Capital A Bhd dan AirAsia Group Bhd antara tiga kaunter paling aktif didagangkan susulan laporan mengenai kemungkinan campur tangan kerajaan dalam operasi domestik AirAsia berikutan kebimbangan terhadap kedudukan kewangan syarikat penerbangan tambang rendah itu.
Pada jam 4 petang, harga saham AirAsia susut 13.5 sen atau 21.09% kepada 50.5 sen, dengan 133.84 juta saham bertukar tangan.
Sementara itu, harga saham Capital A merosot lima sen atau 18.18% kepada 22.5 sen, dengan 118.57 juta saham didagangkan.
Sebuah agensi berita asing semalam melaporkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap tekanan kewangan AirAsia, termasuk hutangnya kepada pengendali lapangan terbang Malaysia Airport Holdings Bhd sekurang-kurangnya RM500 juta.
Dalam laporan Bernama semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy, berkata syarikat penerbangan itu boleh membawa masuk pesawat dengan pantas untuk menyerap atau membantu memenuhi permintaan pasaran domestik sekiranya diperlukan.
AirAsia pada awal bulan ini menjelaskan bahawa rancangan pengumpulan dananya, yang merangkumi sehingga AS$1 bilion (RM4.21 bilion) dalam pasaran hutang antarabangsa serta kemudahan kredit tempatan bernilai RM700 juta, disasarkan terutamanya untuk penstrukturan atau pembiayaan semula hutang dan pengukuhan kunci kira-kira.
Menurut AirAsia, langkah itu bukan semata-mata untuk membiayai kekurangan operasi. - BERNAMA





