Saham Axiata berpotensi melonjak semula disokong penjanaan nilai aset - CGS International

LocalBusiness & Finance
30 Jul 2026 • 10:53 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Saham Axiata berpotensi melonjak semula disokong penjanaan nilai aset - CGS International Image from: Saham Axiata berpotensi melonjak semula disokong penjanaan nilai aset - CGS International hamden30/07/2026 - 10:53 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Julai - Axiata Group Bhd terus menerima saranan 'Tambah' daripada CGS International (CGSI) dengan harga sasaran (TP) berasaskan Nilai Aset Bersih Diselaraskan (RNAV) sebanyak RM2.87 sesaham, disokong jangkaan program penjanaan nilai aset akan menjadi pemangkin utama kepada penarafan semula saham syarikat itu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sebarang perkembangan berkaitan pelupusan aset infrastruktur milik Axiata, khususnya Link Net dan edotco, dijangka meningkatkan sentimen pelabur terhadap saham syarikat berkenaan, manakala hasil dividen FY26F yang mampan sebanyak 5.6% terus menjadi faktor sokongan kepada harga saham.

 

"Senario terbaik adalah sekiranya kedua-dua aset tersebut berjaya dilupuskan, namun penjualan mana-mana satu daripadanya juga dilihat mampu menjadi pemangkin positif kepada penilaian semula saham Axiata," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

CGSI berkata, pasaran ketika ini telah banyak mengambil kira kemungkinan kelewatan atau kegagalan program penjanaan nilai aset apabila harga saham Axiata didagangkan pada diskaun sekitar 38% berbanding anggaran RNAV sebanyak RM3.19 sesaham.

 

Harga saham syarikat itu turut susut 12.8% dalam tempoh tiga bulan lalu susulan penyingkirannya daripada indeks MSCI Malaysia serta kebimbangan bahawa program pengewangan aset mungkin tidak dapat diselesaikan seperti dirancang.

 

Semakan terkini dengan pihak pengurusan mendapati tiada perkembangan baharu mengenai program berkenaan sejak panggilan taklimat keputusan suku pertama 2026 pada 25 Mei lalu.

 

Ketika itu, pengurusan masih menyasarkan program penjanaan nilai aset dapat dimuktamadkan dalam tahun ini.

 

Kesan Penjanaan Semula Nilai Aset

Menurut firma penyelidikan itu lagi , kelewatan khususnya melibatkan transaksi edotco berkemungkinan berpunca daripada kerumitan struktur operasinya yang merangkumi tujuh negara serta rundingan berterusan dengan bakal pembeli yang mungkin mahu mengecualikan beberapa aset tertentu daripada urus niaga tersebut.

 

CGSI bagaimanapun menjelaskan unjuran pendapatan syarikat ketika ini tidak mengambil kira sebarang keuntungan daripada pelupusan aset.

 

Unjuran pendapatan sesaham (EPS) teras FY27 sebanyak 13 sen dan dividen sesaham (DPS) sebanyak 12 sen dibuat tanpa memasukkan hasil daripada penjualan aset infrastruktur.

 

Berdasarkan unjuran semasa, pelupusan edotco dan Link Net pada FY2026 dijangka meningkatkan EPS teras FY27 sebanyak 12%, manakala pelupusan Link Net sahaja berpotensi melonjakkan EPS sebanyak 29%.

 

Sekiranya pelupusan edotco tidak menjadi kenyataan, CGS International percaya pasaran berkemungkinan kembali menilai Axiata berdasarkan hasil dividen.

 

Dengan andaian sasaran hasil dividen sebanyak 5%, saham Axiata dianggarkan bernilai sekitar RM2.40 sesaham.

 

Jika Link Net berjaya dilupuskan dan 80% daripada keuntungan tambahan diagihkan sebagai dividen, nilai saham Axiata berpotensi meningkat kepada RM3.03 sesaham, iaitu kira-kira 53% lebih tinggi berbanding harga semasa.

 

Firma penyelidikan itu berkata, antara risiko utama kepada prospek syarikat ialah kegagalan melaksanakan program pengewangan aset dan mengembalikan nilai kepada pemegang saham, risiko geopolitik di pasaran operasi utama serta perubahan dasar kawal selia yang boleh menjejaskan prestasi kumpulan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved