Saham MBM Resources jatuh 8% selepas Daihatsu umum henti semua penghantaran kenderaan

Business & FinanceCars
21 Dec 2023 • 12:49 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Saham MBM Resources jatuh 8% selepas Daihatsu umum henti semua penghantaran kenderaan

azan

21/12/2023 - 12:49

KUALA LUMPUR 21 Dis - Saham MBM Resources Berhad jatuh 8%, hari ini berikutan berita bahawa Daihatsu Motor Co. Ltd. menghentikan sementara penghantaran semua kenderaan.

Menurut laporan, siasatan mendapati isu melibatkan 64 model, termasuk hampir dua dozen dijual di bawah jenama Toyota.

Kaunter itu susut 8.04%, atau 36 sen kepada RM4.12 pada 11.18 pagi, menjadikannya paling rugi di Bursa Malaysia. Ia telah meningkat lebih 25% setakat tahun ini.

Perodua berkata, penilaian terperinci sedang dilakukan sebagai respon kepada pengumuman Daihatsu mengenai penggantungan kenderaannya kerana "penyelewengan prosedur" dalam modelnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, mereka kini sedang berbincang dengan pihak berkuasa Malaysia bagi menilai kesan perkembangan itu ke atas kenderaannya.

"Kami sedang berbincang dengan pihak berkuasa Malaysia tentang kesan perkembangan ini kepada kenderaan kami, dan kami memohon maaf kepada pelanggan kami yang dihargai dan orang awam atas sebarang kegusaran yang mungkin dibawa oleh pengumuman ini," katanya.

Beliau berkata, Perodua akan berkongsi hasil perbincangan dengan orang ramai dalam masa terdekat.

Sementara itu, Kenanga Research, dalam satu nota kajian berkata MBM merupakan pilihan utamanya untuk sektor automotif kerana keterlihatan pendapatannya yang kukuh disokong oleh tunggakan pesanan kenderaan Perodua sebanyak 140,000 unit bersamaan dengan hampir separuh sasaran jualan 2024 sebanyak 330,000 unit.

Katanya, MBM merupakan proksi yang baik kepada jenama Perodua pasaran besar memandangkan ia merupakan pengedar Perodua terbesar di Malaysia, serta 22.58% pegangannya dalam Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. - DagangNews.com