hamden26/05/2026 - 14:27 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Mei - Aktiviti jualan singkat harian (IDSS) bagi saham Critical Holdings Berhad digantung bagi baki sesi dagangan Selasa selepas harga saham syarikat itu merosot lebih 17% susulan keputusan kewangan suku ketiga yang lebih lemah.
Saham syarikat itu susut sehingga 17.8% kepada 83 sen pada sesi dagangan pagi berbanding harga penutup RM1.01 pada Isnin, selepas dibuka lebih rendah pada 94 sen.
Setakat dagangan tengah hari, kaunter itu didagangkan pada 91.5 sen, turun 9.5 sen atau 9.4%, dengan lebih lima juta saham bertukar tangan.
Menurut makluman Bursa Malaysia, aktiviti jualan singkat harian bagi saham tersebut digantung selepas harga terakhir yang diniagakan jatuh melebihi 15% daripada harga rujukan.
Aktiviti IDSS bagi saham itu dijadual disambung semula pada Khamis.
Terdahulu, Critical Holdings melaporkan keuntungan bersih bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2026 merosot 88.1% kepada RM1.2 juta berbanding RM10.06 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Hasil kumpulan turut menyusut 47.9% kepada RM50.8 juta daripada RM97.6 juta sebelumnya, terutamanya disebabkan pengurangan sumbangan daripada segmen penyelesaian kejuruteraan utiliti proses serta mekanikal dan elektrikal.
Prestasi kewangan yang lebih lemah itu dilihat menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham syarikat berkenaan, sekali gus mendorong tekanan jualan ketara dalam dagangan awal hari ini.
Dalam makluman kepada bursa, syarikat berkata penurunan hasil berpunca daripada kemajuan projek yang lebih perlahan berbanding tempoh sama tahun lalu selain sumbangan projek baharu yang masih di peringkat awal pelaksanaan. - DagangNews.com
