
KUALA LUMPUR 9 Dis – Saham Orkim Bhd dibuka mendatar pada harga 92 sen, sama seperti tawaran awam permulaan (IPO) dalam penampilan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pagi ini.
Saham syarikat perkapalan minyak dan gas itu bergerak antara paras terendah 86.5 sen dan tertinggi 94.5 sen.
Setakat pukul 9.30 pagi tadi, Orkim diniagakan pada 91 sen dengan lebih 35 juta saham bertukar tangan.
Majlis penyenaraian itu turut dihadiri Menteri Kewangan 11, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bersama Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Orkim Berhad, serta wakil daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB), Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) dan Bursa Malaysia.
Orkim disenaraikan di bawah sektor perkhidmatan pengangkutan dan logistik, dengan nama saham ‘ORKIM’ dan kod saham ‘5348’.
Penyenaraian ini menandakan peralihan pemilikan daripada Ekuinas kepada PNB, yang kini memegang 60 peratus syarikat sebagai sebahagian daripada strategi kerajaan untuk membimbing dan mengembangkan syarikat Bumiputera secara berperingkat agar terus berkembang secara lestari.
Ekuinas mula melabur dalam Orkim pada 2014.
Ketika ini, Orkim adalah pengendali tangki Minyak Produk Petroleum Bersih (CPP) terbesar di Malaysia dengan 56 peratus bahagian pasaran domestik, memiliki armada 18 kapal termasuk dua tangki LPG, memberi perkhidmatan kepada pelanggan utama minyak dan gas di Malaysia dan rantau Asia.
Melalui IPO ini, Orkim berjaya mengumpul RM92 juta melalui penerbitan sebanyak 100 juta saham baharu, disertai tawaran jualan 300 juta saham sedia ada.

Hasil daripada IPO ini akan disalurkan terutamanya untuk perolehan kapal (87.0 peratus), modal kerja (1.2 peratus), dan perbelanjaan berkaitan penyenaraian.
Sementara itu, Pengerusi Orkim Berhad, Datuk Abdul Hamid Sh Mohamed berkata, penyenaraian ini melambangkan komitmen terhadap ketelusan, tadbir urus dan penciptaan nilai untuk para pemegang saham.
“Kami berbangga menjadi IPO Bumiputera pertama di Pasaran Utama tahun ini dan komited untuk meneruskan pertumbuhan di bawah pentadbiran jangka panjang PNB,” katanya dalam satu kenyataan.
Orkim menetapkan polisi dividen mengagihkan 50 hingga 70 peratus keuntungan selepas cukai kepada pemegang saham, sekali gus memberi ganjaran sambil memperkukuh sektor logistik maritim dan tenaga di Malaysia.
Armada Orkim terdiri daripada 14 tangki CPP dengan kapasiti gabungan 134,684 DWT, dua tangki CPP julat sederhana dengan kapasiti gabungan 98,004 DWT, dan dua tangki LPG dengan kapasiti gabungan 6,498 DWT.
Kapal-kapal ini dioperasikan di bawah pelbagai perjanjian penyewaan, memberi perkhidmatan kepada syarikat minyak dan gas utama di Malaysia serta negara Asia lain termasuk Singapura, Filipina, Brunei, China, dan Korea Selatan.
Armada Orkim mengangkut pelbagai produk CPP seperti petrol, diesel, bahan api jet, minyak tanah, naphtha, gas oil, kondensat, serta LPG termasuk propana dan butana.
Dengan armada moden, piawaian pematuhan yang kukuh dan rekod prestasi terbukti, Orkim telah menempatkan diri sebagai peneraju yang dipercayai dalam industri pengangkutan laut.
CIMB Investment Bank Berhad bertindak sebagai Penasihat Utama, Penyelaras Bersama Buku, Penjamin Pelaksana Utama dan Penjamin Bersama bagi IPO ini, manakala RHB Investment Bank Berhad berperanan sebagai Penyelaras Bersama Buku dan Penjamin Bersama, dan Affin Hwang Investment Bank Berhad sebagai Penjamin Bersama. - DagangNews.com
