Saham PSP Energy jatuh selepas dibuka mendatar pada penampilan sulung di Pasaran ACE

LocalBusiness & Finance
4 Dec 2025 • 11:21 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Saham PSP Energy jatuh selepas dibuka mendatar pada penampilan sulung di Pasaran ACE
image is not available
liza04/12/2025 - 11:21 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Dis – Penampilan pertama PSP Energy Bhd di Pasaran ACE Bursa Malaysia agak suram apabila sahamnya mula menurun selepas dibuka pada harga IPO 16 sen sesaham.

 

Saham syarikat peniaga bahan api dan pelincir itu jatuh sehingga 14.5 sen, menyusut lebih 9% pada permulaan dagangan sebelum pulih sedikit dan diniagakan pada 15.5 sen.

 

Sehingga pukul 9.30 pagi, lebih 61 juta saham dipindah milik, menjadikan permodalan pasaran PSP Energy kira-kira RM155 juta. 

 

Syarikat itu menyasarkan untuk mengumpul RM34.2 juta daripada penyenaraian ini, dengan RM15 juta diperuntukkan untuk pembelian kapal bunker baharu bagi mengembangkan operasi pembekalan bahan api kapal-ke-kapal. 

 

Pengarah Urusan Kumpulan, Ong Chee Seng berkata, kapal baharu ini akan mempercepatkan operasnya dan melengkapkan armada sedia ada yang terdiri daripada tiga kapal.

 

Sebanyak RM12 juta (35.1%) daripada hasil IPO akan diperuntukkan bagi pembelian produk bahan api terutamanya diesel dan minyak gas marin, bagi meningkatkan jumlah jualan.


Selain itu, RM1 juta (2.9%) akan digunakan untuk pembelian tujuh lori tangki baharu, bagi menggantikan aset lama dan menambah bilangan lori tangki syarikat. 

 

Baki hasil IPO akan diperuntukkan kepada modal kerja am sebanyak RM1.3 juta (3.8%) dan kos penyenaraian dianggarkan RM4.9 juta (14.3%).

 

IPO ini terdiri daripada 213.8 juta saham baharu dan 74.82 juta saham sedia ada, menjadikan permodalan pasaran PSP Energy sebanyak RM171 juta semasa penyenaraian.

 

Mercury Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penaja utama, penjamin dan ejen penempatan bersama manakala AmInvestment Bank Berhad bertindak sebagai ejen penempatan bersama bagi IPO ini. - DagangNews.com

Terkini standard