Saham SkyeChip melonjak hampir 300% pada penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia

LocalBusiness & Finance
20 May 2026 • 9:51 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Saham SkyeChip melonjak hampir 300% pada penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia Image from: Saham SkyeChip melonjak hampir 300% pada penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia liza20/05/2026 - 09:51 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Mei – Saham SkyeChip Bhd melonjak hampir 300% pada sesi dagangan pertama di Pasaran Utama Bursa Malaysia selepas tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu mencetuskan permintaan luar biasa daripada pelabur institusi dan runcit.

 

Saham SkyeChip dibuka pada RM3.50 berbanding harga IPO sebanyak 88 sen sesaham, sekali gus mencerminkan sentimen pelabur yang sangat kukuh terhadap sektor reka bentuk semikonduktor tempatan.

 

Kenaikan harga tersebut turut meningkatkan permodalan pasaran syarikat kepada tambahan kira-kira RM4.7 bilion pada awal dagangan, menjadikan ia antara penyenaraian paling menonjol di Bursa Malaysia tahun ini.

 

IPO SkyeChip berjaya mengumpul dana sebanyak RM352 juta, dengan kadar terlebih langganan mencecah lebih 95 kali, sekali gus meletakkannya antara tawaran saham paling mendapat sambutan dalam tempoh kira-kira 16 tahun di Malaysia.

 

Seawal pembukaan dagangan, lebih 23 juta saham bertukar tangan, mencerminkan minat tinggi serta kecairan yang kukuh terhadap kaunter baharu ini.

 

Syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang itu terlibat dalam reka bentuk litar bersepadu khususnya dalam pembangunan silikon harta intelek yang boleh dilesenkan kepada pelanggan industri semikonduktor global.

 

Selain itu, SkyeChip turut membangunkan cip semikonduktor khusus bagi pelbagai aplikasi termasuk kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC) dan seni bina cip termaju.

 

Penyenaraian ini berlaku ketika Malaysia sedang memperkukuh kedudukan dalam rantaian nilai semikonduktor global, dengan fokus beralih daripada aktiviti ‘back-end’ kepada ‘front-end’ yang lebih bernilai tinggi seperti reka bentuk dan pembangunan cip.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SkyeChip, Datuk Fong Swee Kiang berkata syarikat kini memanfaatkan akses kepada teknologi dan platform global bagi mempercepatkan pembangunan penyelesaian silikon generasi baharu.

 

Beliau berkata, akses kepada platform Arm Flexible Access milik Arm Holdings Plc yang diperoleh sebelum penyenaraian akan memperkukuh keupayaan syarikat dalam pembangunan reka bentuk cip yang lebih kompleks dan kompetitif.

 

IPO ini turut disokong oleh 22 pelabur utama termasuk institusi besar seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Lembaga Tabung Haji, AHAM Asset Management, AIA, CMY Capital dan Great Eastern Life Assurance, yang secara kolektif mengambil kira-kira 60 peratus daripada tranche institusi.

 

Lebih 60 peratus daripada hasil IPO atau kira-kira RM211.5 juta akan diperuntukkan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D), manakala sekitar 16 peratus disalurkan bagi pengembangan fasiliti operasi serta infrastruktur pengkomputeran syarikat.

 

Baki dana IPO akan digunakan untuk pelesenan teknologi, alat pembangunan, modal kerja serta perbelanjaan berkaitan penyenaraian di Bursa Malaysia. - DagangNews.com

Terkini standard