Saham Sunway Construction meningkat, firma penganalisis semak semula saranan, jual

Business & Finance
21 May 2024 • 10:22 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Saham Sunway Construction meningkat, firma penganalisis semak semula saranan, jual

herman

21/05/2024 - 10:22

KUALA LUMPUR 21 Mei - Kenanga Research menyemak semula saranan saham Sunway Construction kepada Market Perform daripada Outperform berdasar penilaian wajar selepas berlaku kenaikan kukuh dalam harga sahamnya.

Kata firma penyelidikan itu, harga sasaran (TP) dikekalkan pada RM3.16 sesaham berdasarkan 18x nisbah harga pendapatan (PER) tahun kewangan 2025 (FY25F) yang sejajar dengan penilaian untuk syarikat-syarikat pembinaan kap besar.

"Kami menyukai Sunway Construction kerana prospek pekerjaan yang kukuh bagi keseluruhan sektor dengan pelaksanaan segera projek infrastruktur awam penting, pendapatan ketara yang kukuh disokong oleh buku pesanan yang belum diselesaikan sebanyak RM6.3 bilion dan pekerjaan berulang dari syarikat induk dan syarikat-syarikat berkaitan.

"Selain itu, kemampuan yang luas dan rekod prestasi dalam pembinaan, infrastruktur, solar, mekanikal, elektrikal dan kerja-kerja paip.

"Walau bagaimanapun, saham ini dinilai secara wajar selepas kenaikan kukuh dalam harga sahamnya. Penurunan saranan kepada marketperform daripada Outperform," katanya dalam nota penyeldidikan hari ini.

Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengekalkan saranan Jual saham Sunway Construction dengan TP tidak berubah pada RM2.30 sesaham.

"Kami tidak membuat sebarang perubahan kepada ramalan pendapatan kami. TP MYR2.30 (tidak berubah) kami ditetapkan pada PER 19x (min) pada pendapatan FY24E.

"Walaupun kami terus menyukai Sunway Construction kerana keupayaan pelaksanaan yang kukuh, saham ini mahal, diperdagangkan pada PER FY24E 28x. Mengekalkan saranan 'Jual'," jelasnya.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research pula sebaliknya apabila mengekalkan saranan "Beli" pada Sunway Construction dan menaikkan harga sasarannya kepada RM3.75 sesaham daripada RM3.20.

Kata firma itu, buku tender syarikat telah berkurang secara berurutan kepada RM9.4 bilion tetapi ini hampir keseluruhannya disebabkan oleh tamatnya tempoh dua tender Mass Rapid Transit 3.

"Kami percaya bahawa Sunway Construction masih mempunyai kira-kira empat tender dalam ruang fasiliti teknologi canggih (ATF) dan akan berada dalam kedudukan yang menguntungkan untuk mendapat manfaat daripada peningkatan pelanggan utama sedia ada," katanya.

HLIB menambah bahawa kedua-dua keterlibatan kontraktor awal Sunway Construction (A&B) sedang berjalan lancar dan telah menghasilkan pesanan kerja berjumlah RM53.4 juta.

Ia mencatatkan bahawa syarikat juga telah dijemput mengambil bahagian dalam projek ATF di India dan Indonesia, di mana ia akan bekerjasama dengan rakan tempatan yang memiliki kepentingan 50% atau lebih. - DagangNews.com