
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengulangi gesaan agar Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) mengamalkan pendekatan politik lebih inklusif serta sederhana, sambil mengingatkan sikap eksklusif berasaskan kaum boleh mengehadkan kemampuan gabungan itu mentadbir Malaysia yang majmuk.
Bercakap dalam podcast Trick Lama yang dikendalikan oleh Ketua Pengarang Big Boom Media Group yang menerbitkan Scoop, Terence Fernandez, Saifuddin yang dipecat oleh parti itu baru-baru ini, berkata Bersatu perlu berkembang melangkaui politik perkauman sempit jika mahu kekal relevan di peringkat nasional.
Program itu turut dikendalikan bersama oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Zainul Arifin dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan, yang lebih dikenali sebagai Rocky Bru.
Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata usaha telah dilakukan dalam Bersatu untuk meluaskan daya tarikannya, termasuk meminda perlembagaan parti bagi membuka keahlian kepada Bumiputera bukan Melayu.

“Kami telah meminda perlembagaan untuk menubuhkan sayap bagi Bumiputera bukan Melayu.
“Ini sebahagian daripada keyakinan kami bahawa Bersatu harus bersifat nasionalis, tetapi inklusif. Nasionalis tidak bermaksud eksklusif,'' katanya.
Beliau menegaskan politik inklusif tidak menyimpang daripada prinsip asas parti sebaliknya penyesuaian yang perlu terhadap realiti sosial dan politik Malaysia.
“Malaysia ialah sebuah masyarakat majmuk. Jika kita mahu mentadbir dengan berkesan, kita mesti mencerminkan realiti itu dalam politik kita.
“Anda tidak boleh mendakwa mewakili negara jika politik anda hanya berbicara kepada satu segmen,'' katanya.
Perlunya kesederhanaan
Saifuddin turut menyentuh mengenai kedudukan ideologi PN, dengan berhujah bahawa gabungan itu mesti mendefinisikan dirinya dengan jelas dalam spektrum sederhana untuk kekal kompetitif.
“Dalam PN, ada parti yang cenderung ke kanan, tengah dan ada yang lebih konservatif. Itu perkara biasa dalam sebuah gabungan,” katanya.
“Yang penting ialah sama ada kita boleh bersetuju dengan satu platform bersama yang sederhana, bertanggungjawab dan boleh diterima majoriti rakyat Malaysia.”
Beliau berkata kesederhanaan penting untuk menangkis persepsi bahawa PN semakin condong kepada politik keras atau ekstrem, khususnya dalam kalangan pengundi bandar dan bukan Melayu.
“Jika kita dilihat terlalu ekstrem, kita tidak akan mendapat keyakinan kelompok pertengahan.
“Politik hari ini berkisar tentang pusat. Siapa yang menguasai pusat, dialah yang membentuk kerajaan,'' ujar beliau.
Bekas menteri itu menekankan bahawa keterangkuman perlu dijadikan institusi, bukan sekadar strategi sementara untuk pilihan raya.
“Ini bukan tentang menang satu pilihan raya,” katanya.
“Ini tentang membina budaya politik yang boleh menjamin pentadbiran, perpaduan dan kestabilan jangka panjang.”
Saifuddin telah dipecat daripada Bersatu pada 6 Januari lalu selepas keputusan lembaga disiplin parti mendapati beliau bersalah melanggar perlembagaan dan kod etika.
Beliau antara tujuh pemimpin kanan parti yang dipecat dalam beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Datuk Wan Saiful Wan Jan, di tengah‑tengah ketegangan yang semakin meningkat mengenai kepimpinan dan hala tuju parti di bawah Muhyiddin Yassin. - 13 Januari,2026
The post Saifuddin: Bersatu tidak mampu bertahan dengan politik perkauman sempit appeared first on Scoop.
