Saifuddin hadiri mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel di Rwanda

LocalPolitics
21 Jun 2022 • 12:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

PUTRAJAYA - Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) Ke-26 yang akan diadakan di Kigali, Rwanda dari 21 hingga 25 Jun.

Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan tema CHOGM tahun ini adalah 'Delivering A Common Future: Connecting, Innovating, Transforming'.

"Tema ini dilihat relevan dengan keadaan semasa di mana komuniti global sedang berdepan dengan kesan pandemik COVID-19 yang telah mengakibatkan jurang perbezaan ketara daripada segi pengagihan kekayaan, akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti dan pembangunan sosio-ekonomi.

"Ketua-ketua Kerajaan Komanwel akan berbincang dan bertukar-tukar pendapat mengenai cabaran semasa yang akan menjejaskan keluarga Komanwel ke arah mencapai pembangunan mampan dan inklusif," menurut kenyataan itu.

Wisma Putra turut memaklumkan bahawa Ketua-Ketua Kerajaan juga akan membincangkan perkembangan politik dan ekonomi global semasa, serta isu berkaitan tadbir urus kerajaan dan kedaulatan undang-undang, pembangunan mampan, pemulihan pasca Covid-19, belia, serta teknologi dan inovasi.

Satu kenyataan CHOGM 2022 serta tiga dokumen hasil - Deklarasi Kigali mengenai Reformasi Penjagaan dan Perlindungan Kanak-kanak; Commonwealth Living Lands Charter: A Commonwealth Call to Action on Living Lands (CALL); dan Deklarasi Perbandaran Lestari dijangka akan diperakui pada penghujung Sidang Kemuncak.

Saifuddin juga dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya di luar CHOGM ke-26 untuk membincangkan isu-isu kepentingan bersama. Beliau juga akan bertemu dengan Keluarga Malaysia yang menetap di Rwanda, kata Wisma Putra.

Mesyuarat CHOGM ke-26 merupakan acara dwitahunan, yang sepatutnya diadakan pada 26 hingga 27 Jun 2020, tetapi telah ditunda sebanyak dua kali akibat penularan Covid-19. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved