
SANDAKAN: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata segala urusan pemberian kewarganegaraan termasuk permohonan membabitkan pemain bola sepak, dilaksanakan secara teliti mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, keputusan Fifa mengenakan tindakan terhadap FAM berhubung status kewarganegaraan pemain tidak melibatkan kementerian itu, sebaliknya ia adalah urusan antara badan induk bola sepak dunia itu dengan FAM.
“Sudah tentulah hal naturalisasi ini di bawah bidang kuasa KDN. Dalam Perlembagaan, pemberian kewarganegaraan secara naturalisasi adalah di bawah Perkara 19(1),” katanya.
Menurutnya, setiap permohonan dibuat secara teliti melalui jawatankuasa di peringkat kementerian yang dipengerusikan Ketua Setiausaha. Ini termasuk semakan dokumen, sesi temu bual, pengambilan biometrik serta verifikasi.
“Pemohon tidak boleh tinggal di luar negara tanpa pernah berada di Malaysia, kemudian terus memohon kewarganegaraan.
“Syarat keberadaan di Malaysia adalah asas. Proses ini bukan ringkas malah mengambil masa kerana ketelitiannya,” katanya.
Tambah Saifuddin, kementerian itu hanya mengendalikan isu kewarganegaraan, manakala sebarang tindakan Fifa terhadap FAM adalah urusan bola sepak semata-mata.
“Semua keputusan kami adalah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 19 iaitu naturalisasi,” katanya, dan menambah, dakwaan salasilah keluarga juga ditentusahkan seperti mempunyai kaitan dengan Malaysia sama ada di Melaka, Pulau Pinang, Kuching atau Kota Kinabalu.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas tinjauan pelaksanaan RON95 (BUDI95) di sini pada Sabtu.
