Saifuddin Nasution peroleh penghakiman ingkar terhadap pengguna media sosial

LocalPolitics
16 Mar 2026 • 5:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Saifuddin Nasution. Foto Bernama

ALOR SETAR – [DIKEMAS KINI] Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi di sini untuk memasukkan penghakiman ingkar terhadap seorang pengguna media sosial dalam kes saman fitnah.

Peguam, Datuk SN Nair mewakili Saifuddin Nasution selaku plaintif memberitahu, Hakim, John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee membuat keputusan itu pada 8 Disember 2025.

Katanya, hakim membenarkan permohonan plaintif bersama afidavit sokongan bertarikh 14 November tahun sama.

Nair mengesahkan bahawa Mahkamah Tinggi telah memberikan penghakiman ingkar memihak kepada anak guamnya terhadap defendan, Muhamad Zubair Ismail dan perkara itu telah dimeterai oleh mahkamah pada Sabtu.

“Mahkamah menimbang permohonan tersebut dan mendengar hujahan pihak plaintif tanpa kehadiran Muhamad Zubair Ismail sebagai defendan. 

“Susulan itu, mahkamah telah memasukkan penghakiman yang menetapkan liabiliti defendan berhubung penerbitan fitnah yang dipertikaikan oleh plaintif,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, mahkamah akan menentukan jumlah yang wajar bagi ganti rugi am, teruk dan teladan kepada anak guamnya dalam tarikh lain.

Katanya, penghakiman ingkar itu menegaskan prinsip bahawa, individu yang menyebarkan kenyataan fitnah secara dalam talian tidak boleh mengelakkan daripada tanggungjawab undang-undang, dengan tidak mengambil bahagian dalam prosiding mahkamah.

Beliau berkata, Saifuddin Nasution memulakan tindakan ini bagi membersihkan reputasinya serta menegakkan kedaulatan undang-undang.

Menurutnya, plaintif akan meneruskan perkara ini sehingga mahkamah menentukan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar.

Pada 11 April 2025, Saifuddin Nasution memfailkan tuntutan saman dan mendakwa defendan memuat naik beberapa hantaran berbentuk gambar, video dan kenyataan yang merujuk secara langsung kepada plaintif menerusi akaun Facebook dan TikTok pada 26 dan 27 Mac 2025.

Plaintif mendakwa hantaran tersebut membawa maksud antaranya beliau seorang yang melindungi penjenayah atau individu tertentu demi kepentingan politik serta peribadi dan menyalahgunakan kedudukan sebagai Menteri untuk keuntungan peribadi.

Dakwanya, akibat tindakan defendan itu, plaintif menjadi sasaran pelbagai kenyataan bersifat menghina, mencaci serta memperlekehkan secara terbuka selain menjejaskan reputasi serta nama baik dan kedudukan plaintif.

Beliau menuntut permohonan maaf secara terbuka yang mana Muhammad Zubair menuduh ahli politik itu telah mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyerbu Persatuan Bola Sepak Kedah pada 2024.

Saifuddin Nasution mendakwa, kenyataan itu palsu, berniat jahat, memfitnah dan cuba menggambarkannya sebagai seorang pemimpin yang menyalahgunakan kuasa dan tidak cukup bermoral untuk menjadi penjawat awam.

Tindakan itu didakwanya membawa kepada penarikan balik penaja selain menuduh Saifuddin Nasution cuba menggambarkan dirinya sebagai 'wira' untuk mendapatkan simpati awam.

Satu lagi hantaran Muhammad Zubair di TikTok yang ditonton lebih 65,000 kali didakwa mengejek Saifuddin kerana memberikan sumbangan RM200,000 kepada pemain bola sepak KDA FC sempena Aidilfitri. 

Muhammad Zubair mendakwa, tindakan itu hanya untuk menunjuk-nunjuk berbanding bantuan bulanan diberikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Saifuddin Nasution berkata, video itu juga secara palsu membayangkan beliau bertindak biadab dengan tidak melibatkan pemilik kelab ketika memberi sumbangan.

Beliau mengalami tekanan mental yang serius dan berdepan malu akibat tindakan Muhammad Zubair itu dan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman pencegahan.

Bagaimanapun Muhammad Zubair tidak mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka walaupun diberi peluang berbuat demikian pada 4 April lalu.

Pada 25 Mac tahun lalu, Saifuddin Nasution mengadakan pertemuan dengan pemilik Kedah FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar untuk berbincang mengenai hala tuju kelab itu berikutan isu tunggakan gaji pasukan.

Saifuddin Nasution yang juga Pengerusi PH Kedah berkata, pertemuan berkenaan didorong oleh minat peribadinya terhadap bola sepak dan pasukan Kedah.