
“KALAU cakap pasal saingan, ancaman terbesar kami bukan manusia, tapi band AI (kecerdasan buatan).”
Pengakuan Muiz sempat mencipta jeda. ‘Ancaman’ adalah perkataan yang kuat, ada kuasa cukup besar menggugah dan menghancurkan.
Saya mengatur soalan-soalan agar jejaka 23 tahun ini selesa bercerita disaksikan seorang lagi anggota kumpulan Nicedream, Zurafendi yang mesra disapa Zura.
Kemunculan Nicedream sangat mudah diterima, Mawar, single pertama band duo itu cepat menyita perhatian. Tular sangat pantas di aplikasi TikTok bahkan sebelum lagu itu dirakam dan diterbitkan secara rasmi pada Mei lalu.
Dalam tempoh kurang enam bulan, Mawar mencatat pencapaian membanggakan dengan lebih setengah juta penstriman. Peminat berpusu datang sanggup berdiri di tangga walau tahu lokasi showcase tidak boleh menampung ramai orang.
Bahagian korus Mawar, diguna lebih 200,000 video di aplikasi Tiktok termasuk milik selebriti, pempengaruh hingga syarikat milik kerajaan.\

Bagaimanapun, pengakuan Muiz tidak main-main apabila sebuah akaun TikTok band AI telah meniru konsep, judul hampir sama dengan DNA muzik shoegaze, dream pop dengan struktur bunyi minimalis dibawakan Nicedream.
“Sampaikan ada yang komen di video kami, ‘eh, ini band AI itu kan?’ Bila kami semak, memang akaun band AI itu ada ramai peminat. Paling terkejut apabila bunyi lagu-lagu mereka sebiji macam Nicedream. Sampai ada yang tertukar.
“Masalahnya, orang tidak boleh beza bunyi itu dibuat oleh manusia atau mesin sebab AI sudah terlalu canggih. Cuma bezanya band AI tak boleh buat persembahan secara langsung atau muncul depan orang,” katanya kepada Pancaindera.
Bagi Zura, perkara yang paling membuat terkilan adalah melihat bagaimana pengguna media sosial menyokong sebuah band AI sedangkan pemuzik hari ini berhabis duit menerbitkan lagu yang datang daripada pengalaman dan kepakaran yang dibina bertahun-tahun.
“Kami di Nicedream keluar tenaga, duit poket sendiri, Muiz kumpul duit raya semata-mata hendak keluarkan satu single.
“Tapi band AI ini, keluarkan banyak album terus. Perkara itu sedikit tidak adil. Kami tidak terancam daripada segi bakat tapi pasaran.
“Kami harap pendengar lebih hargai hasil kerja seni yang datang daripada manusia. Sebab seni ini ada jiwa dan pengalaman hidup yang AI tidak boleh beri. Kami harap orang cari kami bukan sebab viral semata-mata, tapi sebab kualiti yang kami usahakan sendiri,” katanya.
Bagaimanapun Nicedream terhutang budi dan mahu merakamkan terima kasih kepada segelintir individu di media sosial yang turut membantu menjentik kesedaran pengguna dengan mengajak mendengar lagu duo ini berbanding akaun AI di TikTok.

Nicedream dan sebuah intepretasi patah hati
Lagu ‘berhantu’ Mawar sebenarnya sudah dicipta Zura sejak 2023 untuk band lamanya sebelum ini. Namun lagu itu diolah dan diberi sentuhan baharu sebelum diterbitkan bersama Nicedream.
“Dalam perhubungan toksik, kita tahu seseorang itu tidak bagus untuk kita. Namun bertahan sebab sayang. Sebab itu, lagu ini kata ‘indah tapi berduri’. Kami juga beri perlambangan dalam metafora lain seperti lilin, orang yang kita cinta seolah ‘bakar’ kita dalam keadaan tersenyum tiada rasa apa-apa selepas menyakiti kita.
“Perkara itu juga terjadi kepada saya secara peribadi, cuma sayalah yang disakiti. Tidak senang melalui proses bersedih dan tukarkannya dengan menulis dan mencipta lagu,” kata Muiz.
Bagi Zura, patah hati adalah fasa yang dilalui setiap orang. Mereka percaya, lagu yang baik dihasilkan daripada pengalaman dengan harapan pendengar yang melalui episod sama tidak mengharungi seorang diri.
“Itu menjadi niat kami untuk orang rasa mereka boleh kaitkan lagi kami dengan mereka. Mereka bebas memberi interpretasi terhadap lagu kami dengan apa juga cara asalkan mereka dengar dan rasa sesuatu.
“Juga asalkan mereka tidak rasa keseorangan melalui fasa sedih itu,” katanya yang berharap bakal diundang untuk menyanyi di festival besar Malaysia suatu hari nanti.
Dalam perkembangan terkini, Nicedream semakin rancak mengadakan showcase dan persembahan untuk mengumpul wang bagi menerbitkan sebuah album penuh yang sedang dalam pembikinan.
Perkembangan Nicedream boleh diikuti menerusi Instagram rasmi @nicedream_music.
The post Saingan terbesar kami bukan manusia, tapi AI – Nicedream appeared first on Utusan Malaysia.


