Saingan tujuh penjuru PRK DUN Bugaya

Politics
6 Nov 2022 • 1:30 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

SEMPORNA: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, yang kosong sejak November 2020, menjadi rebutan tujuh calon Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu.

Selepas tempoh pencalonan ditutup 10 pagi Sabtu di pusat penamaan calon Dewan Masyarakat Semporna, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Juraimin Jadil mengumumkan PRK itu melibatkan pertandingan tujuh penjuru iaitu antara Parti Warisan (Warisan), Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Pejuang, Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) dan calon Bebas.

Calon Warisan, Jamil Hamzah, akan mempertahankan kerusi yang dimenangi calon parti itu Manis Muka Mohd Darah, sewaktu Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 dua tahun lepas dengan majoriti 7,851 undi.

Manis Muka meninggal dunia pada 17 Nov 2020 kerana masalah buah pinggang

Calon lain adalah Abd Aziz Mohd Ibno daripada UMNO mewakil BN, Arastam Pandorog daripada PKR (PH), Mohd Hassan Abu Bakar (Pejuang), Nazmawati Walli (PBM), Karil Pg Kuraini (PPRS) dan calon Bebas Zulfadzli Shi Ahmad.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan PRK DUN Bugaya pada 16 Jan 2021, namun ditangguhkan susulan proklamasi darurat mencegah COVID-19 pada 12 Dis 2020 yang dibatalkan pada 6 Okt lepas.

Pembatalan itu membuka jalan kepada SPR untuk menetapkan PRK DUN Bugaya, yang mempunyai 32,761 pemilih berdaftar, diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 Nov ini.

Abd Aziz berkata saingan tujuh penjuru dihadapinya itu sudah menjadi lumrah buat DUN Bugaya, malah calon yang bertanding merupakan kenalan antara satu sama lain dan ini memperlihatkan proses demokrasi di Sabah sentiasa subur.

“Saya harap dengan ramainya calon seperti ini pengundi Bugaya dapat memilih yang terbaik antara calon bertanding. Sudah pasti jika saya dipilih saya akan membawa usaha BN mewujudkan kestabilan dan kemakmuran di sini,” katanya di pusat penamaan calon itu.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Semporna itu berkata peluang memilih calon terbaik adalah di tangan pengundi dan beliau menawarkan diri mewakili kerjasama BN serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terbukti berkesan sebelum ini dalam kerajaan Sabah.

“Saya juga berharap semua calon tidak menggunakan isu peribadi, atau mana-mana isu menyentuh sensitiviti sebaliknya menunjukkan apa yang boleh dipersembahkan oleh parti masing-masing kepada pengundi,” katanya.

Dalam pada itu, Arastam yang juga Naib Ketua Cabang PKR Semporna berkata PKR serta rakan kerjasama dalam PH telah menggariskan gerak kerja mantap bagi memastikan kemenangan pada PRK DUN Bugaya dan juga Parlimen Semporna yang turut ditandinginya pada PRU15.

“Kita akui bukan mudah bertanding terutama di Parlimen Semporna berdepan Presiden Parti Warisan (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) tetapi kita harap pengundi sini dapat berfikir untuk perubahan terutama pembangunan,” katanya.

Arastam berkata sudah sekian lama penduduk di kawasan itu dijanjikan jambatan di Pulau Bum-Bum, justeru agenda itu merupakan antara yang penting yang akan dibawanya sekiranya dipilih pengundi nanti.

Bugaya merupakan antara kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Semporna yang menyaksikan pertandingan empat penjuru iaitu antara Mohd Shafie, Arastam, Nixon Abdul Hadi mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan calon Pejuang Ab Razik @ Ab Rajak Ab Hamid.

Sementara itu, Nazmahwati yang juga Ketua PBM Bahagian Semporna berkata sudah tiba masanya pimpinan di Semporna diterajui muka baharu yang pastinya membawa hala tuju baharu.

“Dengan berbekalkan enam teras PBM, saya yakin dengan sokongan yang padu daripada para pengundi kelak, kita akan dapat melihat perubahan yang positif di DUN Bugaya,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.