Adakah anda seorang hamba pemilik seekor kucing? Sekiranya ya anda pasti menyedari apabila kucing tidur, kerap kali ia akan baring ke kiri lebih kerap berbanding ke kanan. Penyelidik dari University of Bari Aldo Moro, Ruhr University Bochum, Medical School Hamburg dan dari Kanada, Switzerland serta Turkiye telah menerbitkan kertas kajian mengatakan ia adalah strategi untuk memastikan kelangsungan hidup.
Dalam kajian ini 408 video kucing yang sedang tidur dianalisa dan berdasarkan pemerhatian ia mungkin disebabkan oleh bagaimana hemisfera otak kucing berfungsi. Apabila kucing yang tidur di sebelah kiri bangun, ia menggunakan medan visual kiri. Ini diproses oleh hemisfera kanan otak yang khusus dalam kesedaran spatial, pemprosesan ancaman dan penyelarasan pergerakan apabila melarikan diri.
Dengan kelebihan ini, kebarangkalian kucing yang tidur untuk menyedari ancaman dan kemudian melakukan proses mengelakkan daripada bahaya adalah lebih tinggi berbanding tidur di sebelah kanan. Kertas kajian telah diterbitkan dalam jurnal Current Biology.
