Saintis temui bintang laut mirip Patrick Star di Argentina

25 Aug 2025 • 9:27 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Siapa sangka watak Patrick Star dalam animasi SpongeBob SquarePants ada ‘kembar’ sebenar di dasar laut Argentina? Itulah reaksi ramai penonton apabila rakaman seekor bintang laut (tapak sulaiman) genus Hippasteria yang ditemui pasukan saintis tular baru-baru ini. Bentuk badannya yang bulat dan gemuk membuatkan ia kelihatan seolah-olah Patrick Star sedang melepak di dasar laut.

Dalam siaran langsung ekspedisi itu, penonton pantas menamakannya “estrella culona” atau ‘bintang laut punggung besar’. Ramai ketawa kerana dari sudut rakaman, haiwan itu kelihatan seperti mempunyai punggung. Hakikatnya, bintang laut tidak memiliki tubuh seperti manusia.

“Walaupun bintang laut mempunyai sistem pencernaan lengkap dan dubur, ia bukan di bahagian yang ditunjukkan orang di media sosial,” kata Mariela Romanelli, ahli biologi dari Muzium Sains Semula Jadi Argentina, yang turut mengakui rupa ‘Patrick Star versi sebenar’ itu memang mencuit hati.

image is not available
Tapak Sulaiman yang ditemui oleh pasukan penyelidik di laut Argentina

Fenomena ini menjadi bualan hangat di media sosial kerana jarang sekali penemuan saintifik dikaitkan dengan karakter kartun terkenal. Malah, ia memberi peluang kepada orang ramai untuk lebih dekat dengan dunia biologi laut yang biasanya dianggap rumit.

Penemuan lain

Walaupun Patrick Star versi sebenar jadi tumpuan, ekspedisi yang dikendalikan saintis antarabangsa sejak 23 Julai itu turut menemui beberapa spesies unik lain, termasuk timun laut ungu dinamakan “Batatita”, span karnivor, pari berwarna-warni dan ikan lutsinar yang belum pernah direkodkan di Atlantik Selatan.

Sumber: Live Science