Sairin dan 30 veteran Umno sertai Warisan

LocalPolitics
9 Oct 2025 • 3:28 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Pengerusi Veteran Umno Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Datuk Sairin Karno mengetuai 30 ahli veteran menyertai Parti Warisan di sini, Rabu.

Beliau berkata mereka yakin dengan perjuangan Warisan untuk menyelamatkan Sabah dan percaya negeri ini memerlukan seorang pemimpin berpengalaman serta berwibawa seperti Presiden parti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, bagi membawa Sabah ke arah masa depan yang lebih baik.

Sairin, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Liawan dan bekas Pembantu Menteri dalam kerajaan negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) ketika itu, meninggalkan Umno selepas tewas dalam pilihan raya 2018 dan kemudian menyertai Bersatu serta Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Beliau menyerahkan borang keahliannya kepada Shafie di Ibu Pejabat Warisan di BSA Kolombong.

Sairin berkata beliau dan Shafie sudah berkawan sejak zaman mereka bersama dalam Usno dan Umno sehinggalah Shafie menubuhkan partinya sendiri (Warisan) pada 13 Oktober 2016.

“Walaupun kadang-kadang kami berbeza pendapat saya tetap boleh menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan dan saya berpuas hati dengan penjelasannya.

“Keputusan saya untuk menyertai Warisan didorong oleh perjuangan dan hala tuju politik parti ini yang saya percaya dapat membawa perubahan bermakna untuk rakyat Sabah,” katanya pada sidang media itu.

Pada majlis sama, bekas Ketua Armada Bersatu Ranau Mohd Haris George mengetuai 50 ahli muda menyertai Warisan bagi memperkukuh sayap pemuda parti itu.

Bekas Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Karanaan merangkap Ahli Majlis Tertinggi PBS Danis Biuk turut menyerahkan borang keahlian bagi menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Shafie.

Sementara itu, Shafie berkata, kemasukan mereka ke dalam Warisan memberi suntikan semangat baharu kepada parti, khususnya menjelang pilihan raya negeri akan datang serta akan memperkukuh pengaruh parti di peringkat akar umbi.