Sakit Bukan Penghalang, Pelajar Hidap Kanser Tulang Raih Keputusan Cemerlang SPM

LocalHealth & Fitness
1 Apr 2026 • 12:16 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Semalam (31 Mac) merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh calon peperiksan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Manakan tidak, ia merupakan hari penentu hasil penat lelah dan usaha mereka dalam memperolehi keputusan cemerlang bagi peperiksaan tersebut.

Ia bukanlah satu perjalanan yang mudah apatah lagi jika diuji dengan pelbagai cabaran dan ujian sepanjang tempoh pembelajaran.

Kanser Bukan Halangan, Pelajar Cemerlang Raih 8A 1B Dalam Peperiksaan SPM

Buat seorang calon SPM 2025 yang dikenali sebagai Aaron Darwisy Nor Fakrulzari, diuji dengan Osteosarcoma atau kanser tulang sehingga terpaksa menjalani tujuh kali sesi kimoterapi bukanlah penghalang buatnya untuk meraih keputusan cemerlang.

Aaron yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Sains Rembau (SEMESRA) berjaya memperolehi 8A dan 1B selepas mengambil peperiksaan tersebut di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada tahun lalu.

Disahkan Hidap Kanser Tulang Beberapa Bulan Sebelum SPM

Kongsi Aaron yang merupakan anak kedua dari empat beradik, dia mula berasa sesuatu yang tidak kena pada bahu kanannya selepas mengalami kesakitan sewaktu bermain bola sepak.

Hasil pemeriksaan lanjut di sebuah hospital swasta pada September lalu mendapati terdapat tumor pada bahagian bahu kanannya itu.

“Selepas buat pemeriksaan di hospital, doktor sahkan saya menghidap kanser tulang dan mencadangkan supaya tangguhkan SPM kerana perlukan lalui sesi kimoterapi dan pemantauan doktor, selain jarak rumah dan sekolah yang jauh.

“Tapi saya merayu kepada ibu supaya benarkan saya ambil juga peperiksaan sebab tidak mahu tangguh pelajaran satu tahun.

“Ibu saya maklumkan saya boleh ambil SPM tetapi perlu di hospital dengan pemantauan pengawas peperiksaan,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.

Ambil Peperiksaan SPM Di HKL, Keadaan Kesihatan Tidak Menentu Ganggu Tumpuan

Terang Aaron, atas faktor kesihatan, dia menduduki semua kertas peperiksaan SPM di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan tidak boleh berada di kawasan sesak kerana risiko jangkitan.

“Pengalaman menjawab peperiksaan tanpa rakan di sisi memberi cabaran besar dari segi emosi dan mental.

“Hari pertama kertas peperiksaan Bahasa Melayu, saya rasa sedih sebab tak dapat jawab bersama kawan-kawan.

“Bila guru kongsikan gambar mereka masuk dewan peperiksaan, saya rasa sedikit terasing. Tapi saya cuba kuatkan semangat dan fokus pada peperiksaan,” terangnya.

Keadaan kesihatan Aaron yang tidak menentu turut mengganggu tumpuannya. Jelas Aaron, ada ketika dia terpaksa menjalani pemindahan darah serta berdepan dengan jangkitan sepanjang peperiksaan berlangsung.

“Ada satu malam, saya pitam selepas pemindahan darah dan tak sempat buat ulang kaji, sedangkan esoknya ada subjek Sejarah.

“Selain itu, kesan kimoterapi menyebabkan imuniti badan saya rendah hingga menjejaskan penglihatan ketika menjawab kertas Matematik Tambahan.

“Memang rasa keseorangan, kadang-kadang semangat jatuh juga bila tengok kawan belajar bersama, tapi saya cuba cari cara sendiri untuk ulang kaji dan teruskan juga walaupun susah,” katanya.

Kata-Kata Ibu Bapa Sumber Kekuatan, Masih Teruskan Rawatan Kimoterapi

Jelas Aaron, kata-kata semangat dari ibu bapanya yang merupakan seorang pensyarah menjadi sumber kekuatan buat remaja itu untuk tidak berputus asa dan bangkit dalam kehidupan.

Kini, dia masih lagi meneruskan baki lima rawatan kimoterapi setelah menjalani tujuh sesi.

“Alhamdulillah, saya bersyukur peroleh gred A+ bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Kimia; gred A (Pendidikan Islam, Sejarah dan Matematik); gred A- (Matematik Tambahan dan Fizik) serta gred B bagi subjek Biologi.

“Lebih membanggakan, keputusan SPM hari ini menunjukkan peningkatan berbanding keputusan Peperiksaan Percubaan SPM sebelum ini iaitu 6A dan 3B.

“Saya bercadang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kimia tulen di Jepun dan sedang memohon biasiswa,” kongsinya.

View this post on Instagram

A post shared by Nor Fakrulrazi Ismail (@pok_ji77)

Baca Artikel Berkaitan: Ramai Sebak Pelajar Bawa Keputusan SPM 5A Ke Kubur Untuk ‘Beritahu’ Ibu, Ayah & Adik [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Tak Dapat Hadir Ambil Result SPM Kerana Jaga Ibu Sakit, Pelajar Sebak Guru Datang Bawa Keputusan 11A [Video] 

Baca Artikel Berkaitan: Result Keluar Hari Ini! Ini Tips Buat Lepasan SPM Yang Nak Mohon UPU Untuk Sambung Belajar [Video]