Sakit Kulit Hingga Rambut Gugur, Elizabeth Tan Terpaksa Tolak Tawaran Berlakon 

Beauty
25 Nov 2022 • 4:08 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Lizzy mendedahkan dia menghidap alopesia sejak 2018, mengakibatkan rambutnya mengalami keguguran yang teruk. - Gambar ihsan Elizabeth Tan

Lama menyimpan rahsia, akhirnya pelakon Elizabeth Tan terbuka hati untuk berkongsi mengenai penyakit alopesia yang dihidapinya sejak 2018. 

Menurut pelakon yang mesra dipanggil Lizzy itu, penyakit alopesia menyebabkan dia mengalami masalah keguguran rambut yang kritikal apatah dia memang mempunyai masalah autoimun sejak kecil. 

Autoimun adalah penyakit di mana sistem imun tubuh seseorang menyerang sel atau tisunya sendiri manakala alopesia adalah istilah perubatan untuk botak.

"Saya alami autoimun sejak berusia setahun, yang menyebabkan saya menghadapi masalah kulit. Pada 2018, autoimun menjadi penyebab saya mengalami alopesia. 

“Akibatnya saya mengalami tompokan botak di rambut dan kadang-kadang ia merebak menjadi lebih besar. 

"Masalah ini tiada penyembuh, jadi saya hanya bergantung kepada krim steroid untuk menghentikan tompokan botak itu merebak. Sehingga kini, sudah 12 kali alopesia terjadi," katanya ketika Getaran pada sidang media Festival Filem Malaysia ke-32 di sini, hari ini. 

Penyakit yang dihidapinya itu menyebabkan pelantun lagu 'Knock Knock' itu terpaksa menolak tawaran berlakon yang memintanya memotong rambut seperti lelaki. 

“Saya pun baru sahaja menolak tawaran untuk membintangi sebuah filem yang memerlukan saya memotong rambut seperti lelaki.

"Saya takut rambut lambat tumbuh dan alopesia kembali menyerang selepas saya memotong rambut," katanya.

Namun, Lizzy tidak mahu perkongsian mengenai penyakitnya ini disalahertikan serta dianggap sekadar meraih simpati. 

“Sebelum ini, saya tidak pernah mendedahkan perkara itu kepada orang ramai, terutamanya peminat.

"Setiap kali tompokan botak baru timbul, saya rasa sedih dan tertekan,” tambahnya. – Getaran, 25 November 2022