
KUALA LUMPUR: Setiausaha Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM) mengesahkan bahawa bapa dan adik bekas Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli (gambar) adalah pemegang saham syarikat yang menguruskan Terminal Pelabuhan Merdeka Wilayah Persekutuan Labuan dari 1998 hingga 2020.
Normala Mat Jali, 59, yang juga saksi pendakwaan ke-10, berkata bapa dan adik lelaki Rozman masing-masing memiliki 31,250 unit daripada keseluruhan tiga juta saham LLPM.
“Berkaitan dengan pemilikan pemegang saham, berdasarkan rekod syarikat FNS Corporate Services Sdn Bhd, Isli Siput @ Ali mula menjadi pemegang saham dalam LLPM pada 12 Jan 1999 manakala Tony Noolan mula menjadi pemegang saham dalam syarikat tersebut pada 10 Jan 2002. Maklumat itu ada dilaporkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
“Maklumat itu berdasarkan cetakan maklumat syarikat tersebut yang berkaitan dengan nama pengarah dan pemegang saham yang terkandung di dalam MY DATA SSM bertarikh 5 Feb 2020,“ katanya.
Beliau berkata FNS Corporate Services mula dilantik sebagai setiausaha syarikat bagi LLPM pada 27 Ogos 1998 dan LLPM, yang ditubuhkan pada tarikh sama masih aktif sehingga kini.
Normala berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes Rozman yang berdepan pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi LLPM, yang bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.
Pada prosiding sebelum ini, Pengurus Keselamatan LLPM Mohamad Kasli Sulaiman Darja, 56, memaklumkan mahkamah bahawa Rozman tidak pernah mengisytiharkan bapa dan adiknya sebagai pemegang saham syarikat itu.
Ketika disoal balas peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, Normala bersetuju berdasarkan rekod minoriti pemegang saham syarikat itu, bapa dan adik Rozman memiliki pegangan saham paling sedikit iaitu masing-masing 1.04 peratus.
Beliau juga bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Pengarah LLPM iaitu Datuk Mohd Alias Abd Rahman adalah pemegang saham terbesar syarikat itu.
Terdahulu, saksi pendakwaan kesembilan iaitu Datuk Seri Saripuddin Kasim, 63, berkata dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Pelabuhan Labuan pada 12 Dis 2019, Rozman tidak mengisytiharkan kepentingan bapa dan adiknya dalam LLPM sebaliknya mengisytiharkan beliau tidak memiliki kepentingan dalam Dewan Perniagaan Melayu Labuan (DPLM) kerana tidak lagi menjadi Yang Dipertua dewan itu.
Disoal Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi sama ada Rozman pada bila-bila masa ketika menjadi Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) mengisytiharkan dirinya memiliki kepentingan dalam LLPM yang bapa dan adiknya merupakan pemegang saham, bekas Ahli Lembaga Pengarah LPL itu menjawab: “Seingat saya tidak ada, Yang Arif.”
Rozman, 57, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan telah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara 2.30 hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob bersambung esok.-Bernama
